Selangor masih terlalu jauh nak cabar JDT
SELANGOR masih berdepan perjalanan panjang untuk menjadi pencabar kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) biarpun berjaya mempamerkan peningkatan kualiti pasukan setiap tahun.
Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar berkata, peningkatan yang ditunjukkan skuad Gergasi Merah itu tidak sepantas yang dibuat oleh JDT yang terus mengorak langkah memperkukuhkan pasukan.
Menurutnya, keupayaan dimiliki Harimau Selatan berada jauh dalam kelas tersendiri untuk dicabar pasukan lain seperti Selangor.
Malah, kejutan yang dilakukan skuad kendalian Nidzam Jamil ketika menang ke atas pasukan Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) baru-baru ini bukanlah gambaran sebenar kekuatan Selangor.
"Selangor bukan tidak bermain baik (ketika menentang JDT) dan mereka juga berjaya mengelakkan daripada menjadi mangsa ratahan JDT.
"Cuma,saya tidak tahu kenapa apabila bertemu JDT, nampak pemain Selangor main terlalu berhati-hati tidak seberani ketika menentang Jeonbuk dan sangat mudah hilang bola.
"Namun, perlu diakui JDT adalah pasukan yang sangat kuat dan mereka jauh ke hadapan berbanding Selangor," katanya kepada Sukan Sinar.
Selangor gagal untuk meneruskan momentum cemerlang selepas menundukkan Jeonbuk dalam aksi ACL 2 apabila tewas 0-3 kepada JDT aksi Liga Super pada Ahad lalu.
Dalam pada itu, Azlan turut memuji pendekatan yang ditunjukkan Nidzam dengan melihat banyak pendekatan positif telah berjaya dilakukan pengendali berusia 44 tahun itu.
"Namun, untuk menyaingi JDT, pasukan seperti Selangor dan Nidzam sendiri perlu terus diberikan ruang dan masa untuk membentuk pasukan.
"Kita sudah nampak ada peningkatan bukan sahaja Selangor tetapi juga dalam pasukan lain, namun mereka perlu pantas bergerak seperti JDT," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!