Kombinasi Turkiye, Malaysia perkukuh suara dunia Islam
SEDAR atau tidak, tahun 2024 menyaksikan Malaysia dan Turkiye meraikan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik di antara dua negara Islam itu dengan pelbagai peristiwa sangat bermakna dan sarat tradisi persaudaraan.
Dengan kedua negara mampu menerokai peluang tanpa sempadan untuk bekerjasama, merangkumi perdagangan, komersial, pendidikan dan pertukaran budaya, kelantangan Malaysia dan Turkiye mempertahankan nasib negara-negara Islam yang tertindas turut mendapat pengiktirafan besar dunia.
Hakikatnya, Turkiye dan Malaysia, berkongsi hubungan dua hala yang berakar umbi dan sejarah persaudaraan sejak hubungan antara Empayar Uthmaniyyah dan Kepulauan Melayu pada abad ke-16.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hubungan dua hala antara kedua-dua negara berkenaan telah menyaksikan perkembangan ketara.
Hal ini ditambah dengan keakraban hubungan peribadi yang lama terjalin di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan sejak zaman mahasiswa.
Pada tahun 2014, yang menandakan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Duta Turkiye ke Malaysia Emir Salim Yuksel mendedahkan, Turkiye dan Malaysia telah mewujudkan 'perkongsian strategik' antara negara dan pada tahun 2022, ia telah maju ke tahap 'perkongsian strategik komprehensif'.
Jelasnya dalam satu kenyataan, Turkiye-Malaysia juga bekerjasama rapat dalam forum pelbagai hala, khususnya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam, dan D-8. Tambahan juga, Turkiye ialah 'rakan dialog sektoral' ASEAN.
Kerjasama komersial dan ekonomi
Dalam mengukuhkan ikatan persahabatan yang berkekalan antara negara, kerjasama komersial dan ekonomi memainkan peranan penting.
Dalam konteks ini, Turkiye dan Malaysia mengambil langkah penting untuk meningkatkan hubungan komersial mereka melalui perjanjian perdagangan bebas yang ditandatangani pada tahun 2015.
Menurut Emir Salim, jumlah dagangan antara dua negara itu telah meningkat dengan ketara, meningkat daripada AS$3.5 bilion (RM15.3 bilion) pada tahun 2021 kepada AS$4.6 bilion (RM20.11 bilion) pada 2023.
Lebih manis, Malaysia kekal sebagai rakan dagang ASEAN terbesar Turkiye.
Pakar Undang-undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Salawati Mat Basir berkata, walaupun terdapat jarak fizikal antara Turkiye dan Malaysia, senario itu tidak menghalang kedua-dua negara untuk bersedia membangunkan kerjasama ekonomi, komersial dan teknikal dengan Malaysia dalam bidang-bidang yang bersesuaian untuk manfaat bersama kedua-dua negara.
Sebagai contoh, beliau merujuk kepada industri pertahanan Turkiye yang sudah pun menjadi sebahagian daripada pesaing global dengan sektor ini merupakan salah satu bahagian terpenting kerjasama dengan Malaysia.
"Dalam rangka kerjasama ketenteraan, kapal perang korvet TCG Kınalıada telah melawat Pelabuhan Klang pada Mei 2024. Ini petanda baik terhadap usaha mempertingkatkan kualiti keselamatan negara di kawasan perbatasan.
"Kita juga telah mempertimbangkan banyak perjanjian pembelian aset ketenteraan dan keselamatan dengan Turkiye.
"Langkah ini penting bagi mengurangkan kebergantungan Malaysia terhadap negara-negara pengeluar senjata dalam kalangan kuasa besar dunia," katanya kepada Sinar Premium.
Selain itu, Salawati turut melihat kepentingan hubungan diplomatik Malaysia-Turkiye dari sudut bidang kebudayaan dan pendidikan.
Dengan pembukaan Pusat Kebudayaan Turkiye Yunus Emre di Kuala Lumpur adalah merupakan pusat bahasa Turkiye terbesar di rantau Asia Tenggara, beliau mendedahkan lebih ramai rakyat Malaysia yang mendapat manfaat daripada sektor pendidikan tinggi dari negara berkenaan.
"Turkiye melihat Malaysia sebagai sebuah negara kerjasama diplomatik yang sangat penting.
"Sebab itu sambutan kerajaan Turkiye terhadap segala usaha Malaysia termasuk dalam mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin adalah sangat baik, biarpun negara itu masih menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel dan merupakan sebahagian anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato)," ujar Salawati.
Hab pelancongan
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Mohd Azmi Mohd Rusli berpandangan terdapat potensi besar dalam sektor pelancongan yang mampu dimanfaatkan Malaysia hasil kerjasama erat dengan Turkiye.
Sebagai contoh, beliau memaklumkan Malaysia sudah menjadi hab pendidikan dan pelancongan unik kepada ribuan pelancong Turkiye susulan kedua-duanya memiliki konsep persaudaraan melangkaui nilai sejarah, agama dan tradisi kebudayaan.
"Begitu juga dengan Turkiye yang menjadi hab pelancongan paling diminati rakyat Malaysia dengan hampir 100,000 pelancong negara ini berkunjung ke sana setiap tahun.
"Dengan Lapangan Terbang iGA Istanbul muncul lapangan terbang yang mempunyai sambungan terbaik di dunia ditambah terdapat dua penerbangan setiap hari di antara Kuala Lumpur-Istanbul oleh syarikat penerbangan Turkish Airlines.
"Di sini kita boleh mengambil manfaat mengoptimumkan sepenuhnya keupayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang baru diiktiraf sebagai lapangan terbang paling tersambung di rantau Asia Pasifik berdasarkan analisis platform data industri pelancongan global, OAG, dalam menerima kehadiran lebih ramai pelancong Eropah dan seluruh dunia," jelasnya.
INFO:
Hubungan dua hala Malaysia-Turkiye
Sekuriti Makanan
Pendidikan
Komoditi
Perbankan Digital Islam
e-Dagang
Perkhidmatan Kewangan
Industri Pertahanan
Petroleum & Gas
Tenaga Boleh Diperbaharui
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!