Gegaran misteri, Ipoh disahkan selamat
IPOH - Bandar raya Ipoh disahkan selamat meskipun berhadapan dengan gegaran dan bunyi dentuman misteri yang mengejutkan penduduk, minggu lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengesahkan kawasan Ipoh dan berhampiran tidak mengalami apa-apa masalah.
"Semakan didapati kejadian itu tidak mirip ke arah gempa bumi, juga tidak mengesan sebarang pergerakan kerak bumi serta letupan dari negara jiran.
"Orang ramai juga diminta tidak bimbang dengan insiden tersebut yang pernah berlaku setiap enam tahun bermula tahun 2012," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Selasa.
Selain MetMalaysia, mesyuarat tersebut turut melibatkan 19 agensi antaranya Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Pejabat Tanah dan Daerah.
Azizi berkata, menerusi mesyuarat itu, pihak berkaitan gagal mengenal pasti punca sebenar kejadian misteri itu.
"Hipotesis mengenai elemen supersonik juga ditolak berikutan ruang udara ketika itu terkawal dan sistem radar tidak mengesan sebarangan penerbangan.
"Elemen letupan kuari atau aktiviti ekonomi juga ditolak kerana kaedah itu tidak mungkin menimbulkan gegaran sekuat itu yang dirasai di beberapa lokasi," katanya.
Tambah Azizi, pihaknya juga tidak menerima sebarang laporan kerosakan harta benda dan nyawa kesan daripada insiden tersebut.
"Siasatan akan diteruskan dengan melihat kemungkinan ada pergerakan dalaman di gua-gua baru kapur kesan daripada gegaran tersebut.
"Kita masih merasakan gua-gua ini selamat namun, kita minta pihak berkaitan buat pemeriksaan rapi sekiranya ada kerosakan di gua atau di kawasan pembinaan," katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar Ipoh seperti Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi serta pengguna Lebuhraya Utara Selatan dekat Terowong Menora sekitar jam 11 pagi pada 21 Oktober lalu.
Pada Oktober 2018, insiden sama pernah berlaku di bandar raya ini dan daerah berdekatan termasuk Taiping, namun punca kejadian itu masih kekal misteri sehingga kini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!