Tentera Thailand lancar amuk kerana masalah peribadi

Pasukan keselamatan membawa keluar mangsa yang terperangkap dalam pusat beli-belah Terminal 21 tersebut. -Foto Agensi
Pasukan keselamatan membawa keluar mangsa yang terperangkap dalam pusat beli-belah Terminal 21 tersebut. -Foto Agensi
A
A
A

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha mendakwa insiden menggemparkan yang dilancarkan seorang anggota tentera berpunca daripada masalah peribadi kerana suspek berasa tertipu.

"Ia merupakan kejadian yang jarang berlaku dan saya mahu ia menjadi krisis terakhir yang berlaku di negara ini," katanya hari ini ketika melawat mangsa cedera dalam insiden tersebut di bandar Nakhon Rathcasima.

Bekas ketua tentera Thailand itu turut menyelar bahagian keselamatan di berek berkenaan kerana Sarjan Mejar Jakrapanth Thomma, 32, berjaya memasuki depot simpanan senjata dan melarikan mesingan M60, selaras senapang dan peluru.

"Kejadian ini berlaku bukan kerana kecuaian. Kita tidak meninggalkan depot senjata begitu sahaja kerana perlu ada orang yang menjaga pintu masuk," tegasnya.

Sementara itu, Facebook dilaporkan telah menutup akaun milik Jakrapanth selepas dia berkongsi gambar dan memaparkan kejadian tersebut menerusi Facebook Live.

Antara status awal dengan nada marah yang dimuat naik Jakrapanth adalah 'tiada siapa boleh elak kematian' dan 'jadi kaya dengan ambil kesempatan terhadap orang lain. Adakah mereka fikir boleh guna wang di neraka?'.

Sebelum akaun miliknya ditutup, Jakrapanth sempat memuat naik status 'Patutkah saya serah diri?'

"Kami turut simpati dengan mangsa, keluarga mereka dan komuniti yang terjejas dengan tragedi di Thailand.

Artikel Berkaitan:

Tiada tempat untuk mereka yang melakukan kekejaman seperti itu dan kami tidak membenarkan pengguna lain menyokong serangan tersebut," ujar laman media sosial itu dalam satu kenyataan.

Semalam, Jakrapanth bertindak melancarkan serangan tembakan dan dipaparkan secara live-streaming yang menyebabkan sekurang-kurangnya 26 termasuk remaja berusia 13 tahun terbunuh manakala 57 lagi cedera.

Tentera berkenaan akhirnya tumpas selepas detik dramatik berlarutan selama hampir 17 jam.

Kejadian amuk itu berlaku pada jam 3 petang (waktu tempatan) apabila suspek menembak mati pegawai atasannya, Kolonel Anantharot Krasae, ibu mertua mangsa dan seorang lagi anggota tentera di kem Suatham Phithak terletak kira-kira 250 kilometer dari Bangkok.

Sumber memaklumkan Jakrapanth bertindak sedemikian selepas timbul perselisihan dengan mangsa berhubung urusan jual beli tanah.

Dia yang masih berang kemudiannya melarikan beberapa senjata bersama kenderaan tentera jenis Humvee dan menuju ke pusat beli-belah Terminal 21 di bandar Nakhin Ratchasima yang turut dikenali sebagai Korat di timur laut Bangkok dan mula melepaskan tembakan rambang ke arah orang ramai pada jam 6 petang (waktu tempatan).

Jakrapanth menjadikan beberapa orang awam sebagai tebusan hingga menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menutup laluan di kawasan itu mengepung premis terbabit.

Situasi menjadi semakin tegang selepas insiden berbalas tembakan tercetus antara pihak berkuasa dan suspek yang bersembunyi di tingkat bawah tanah dalam pusat beli-belah tersebut.

Beberapa jam kemudian, Jakrapanth akhirnya ditembak mati dan turut disahkan anggota unit komando yang menyertai operasi tersebut.

"Dia maut ditembak 30 minit lalu," kata Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah, Jirabhob Bhuridej pada jam 9.30 pagi tadi (waktu tempatan). - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!