Pekerja kilang maut, lori berhenti mengejut di bahu jalan
KUANTAN - Seorang pekerja kilang maut apabila motosikal ditungganginya merempuh sebuah lori yang berhenti secara tiba-tiba di Jalan Kuantan-Gebeng berhampiran Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China di sini pada Selasa.
Mangsa, Muhammad Nazran Fahmi Nordin, 19, yang beralamat di Pandan Aman di sini meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dan pemandu lori dari arah Kuantan menghala ke Gebeng.
"Sebaik tiba di lokasi, pemandu lori memberhentikan kenderaannya di bahu jalan menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak lalu terlanggar belakang lori itu.
"Mangsa meninggal dunia di lokasi nahas dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat," katanya pada Selasa.
Wan Mohd Zahari berkata, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu lori yang berhenti di bahu jalan.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai lesen memandu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!