‘Akur dan hormati keputusan pemecatan' - Fairuz

Fairuz
Fairuz
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang Anggota Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang dipecat, Fairuz Bandar mengesahkan telah menerima surat penamatan perkhidmatan daripada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkuat kuasa 23 Oktober 2024.

Fairuz berkata, sebagai AJP lantikan menteri, beliau akur dan menghormati keputusan pemecatan itu.

“Saya percaya ia berkait rapat dengan usul untuk menggantungkan tugas pengurus besar selama 14 hari yang diluluskan dalam Mesyuarat AJP baru-baru ini.

“Keputusan yang dibuat oleh AJP bukanlah hukuman, ia hanya untuk memudahkan siasatan dalaman.

“Beliau tidak perlu takut menghadapi siasatan ini jika sekiranya tidak melakukan salah laku seperti yang dituduh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Mohamad telah memecat Fairuz Bandar salah seorang daripada 16 AJP dan dimaklumkannya kepada pengurus besar melalui surat bertarikh 23 Oktober.

Dalam pada itu, Fairuz berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick serta Mohamad kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk berkhidmat di Nafas sebagai AJP.

“Saya amat yakin bahawa pelantikan saya adalah berdasarkan kelulusan akademik, kepakaran dan pengalaman dalam gerakan Pertubuhan Peladang.

Artikel Berkaitan:

“Untuk rekod, saya memiliki Diploma Sains Pertanian dan Ijazah Sains Perniagaan Tani dari Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

“Pernah juga berkhidmat dengan Korperasi Pembangunan Desa sebuah agensi Kerajaan Sabah yang menerajui pembangunan ekonomi masyarakat desa berasaskan pertanian,” ujarnya.

Tambahnya, beliau tidak asing dengan pergerakan Pertubuhan Peladang dan merupakan ahli serta pemegang saham Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Tuaran.

Jelas Fairuz, dengan pengalaman lebih 30 tahun, ia menjadikan beliau AJP PPK, Pengerusi PPK Tuaran dan AJP Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah serta menjadi perwakilan ke Mesyuarat Agong Nafas.

“Sudah tentu saya sangat berpengalaman dalam perjalanan setiap pertubuhan di semua peringkat (PPK, PPN dan Nafas). Bolehlah anggap bahawa ‘Fairuz serta Peladang berpisah tiada’.

“Oleh itu, sebagai salah seorang pemimpin kanan parti dalam Kerajaan Perpaduan, saya sentiasa memastikan amanah yang dipertanggungjawab oleh kepimpinan terutama sekali oleh presiden parti,” katanya.

Menurut Fairuz, beliau sentiasa menegakkan integriti selari saranan kepimpinan tertinggi kerajaan dan tidak akan cenderung untuk menidakkan suatu proses yang baik untuk kepentingan awam.

Beliau turut menyarankan agar pihak berwajib seperti Lembaga Pertubuhan Peladang dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersikap terbuka serta mendengar keluh pimpinan peladang.

“Terutama sekali AJP yang dipilih oleh ahli-ahli Peladang. Mereka ini adalah mewakili ahli peladang di seluruh negara.

“Jangan hanya kerana undang-undang memberikan kuasa kepada kamu, suara dan pandangan ahli peladang dinafikan. Saya amat percayakan ‘muafakat membawa berkat’,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!