[VIDEO] MP kerajaan persoal keberkesanan PLKN 3.0

A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen kerajaan membantah dan mempersoal perlaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang membabitkan peruntukan sebanyak RM50 juta dalam Belanjawan 2025 adalah keperluan mendesak ketika ini.

Chow Yu Hui (PH-Raub) berkata, PLKN memerlukan peruntukan yang sangat besar dan dalam keadaan ekonomi sekarang, negara masih berhadapan dengan masalah kewangan.

"Kita masih berada dalam proses pemulihan pascapandemik, dengan kos sara hidup yang tinggi dan rakyat berdepan tekanan inflasi.

"Tidakkah dana yang diperuntukkan untuk PLKN lebih baik dialihkan kepada sektor-sektor kritikal seperti pendidikan, kesihatan, dan pemerkasaan ekonomi rakyat?

"Adakah program ini satu keperluan mendesak pada masa ini?" soalnya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Kerajaan mengumumkan perlaksanaan PLKN 3.0 secara berperingkat bermula Januari depan membabitkan peserta berusia antara 16 hingga 35 tahun dengan ketetapan beberapa modul pembelajaran.



Yu Hui
Yu Hui

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bagi fasa pertama, kerajaan menetapkan pembabitan peserta dalam skala kecil sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun depan.

Mengulas lanjut, Yu Hui menambah, sejak PLKN dilaksanakan bermula tahun 2004 hingga tahun 2018, kerajaan telah membelanja sebanyak RM8.4 billion, tetapi keberkesanan program masih dipersoalkan.

Katanya, sejak awal, PLKN diperkenalkan untuk membina semangat patriotisme, disiplin, dan perpaduan dalam kalangan belia.

"Namun, apa kajian yang mendalam benar-benar menunjukkan keberkesanan PLKN dan pencapaian matlamat asalnya.

"Saya tahu, walaupun ada beberapa kajian yang dilakukan, adakah belanja besar yang dikeluarkan untuk program ini sepadan dengan impak positif yang dicapai?

"Ini menimbulkan kebimbangan sama ada PLKN benar-benar memberikan nilai tambah kepada belia atau sekadar menjadi program rutin tanpa perubahan yang signifikan,"katanya.

Ujarnya lagi, golongan belia di bawah umur 35 tahun ini kebanyakannya masih berada dalam fasa pengajian, malah ada yang sudah menamatkan pengajian di universiti dan bekerja, bahkan ada yang sudah berkeluarga.

Justeru, katanya, sekiranya sebahagian belia berumur bawah 35 tahun menyertai PLKN, dikhuatiri memberi kesan besar kepada kehidupan mereka, meskipun hanya untuk tempoh dua bulan.

"Ketiadaan pendapatan selama dua bulan bermakna tiada gaji untuk tempoh tersebut, sedangkan ramai antara mereka perlu menanggung kos kehidupan seperti bayaran pinjaman rumah, kereta, dan juga perbelanjaan untuk anak-anak," katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan membuat pertimbangan yang lebih menyeluruh sama ada perlaksanaan semula PLKN benar-benar perlu.

"Jika tujuannya adalah untuk melahirkan belia yang lebih berdisiplin dan patriotik, mengapa kita tidak fokus kepada program yang lebih holistik, yang melibatkan komuniti, pendidikan formal, dan bukan formal?

"Kita mempunyai program-program sedia ada seperti Rakan Muda, program sukarelawan, dan pelbagai inisiatif di sekolah dan universiti yang boleh diperbaiki serta diperluas untuk membina nilai-nilai yang sama tanpa membebankan belanjawan negara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!