Turkiye sedia mulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas bersama Britain

Fidan (kanan) dijadualkan bertemu dengan Lammy ketika lawatan rasmi pertama beliau ke London pada Rabu.
Fidan (kanan) dijadualkan bertemu dengan Lammy ketika lawatan rasmi pertama beliau ke London pada Rabu.
A
A
A

ANKARA - Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan akan mengulangi kesediaan Ankara untuk memulakan rundingan perjanjian perdagangan bebas bersama Britain ketika lawatan rasmi beliau ke London pada Rabu.

Ia merupakan kunjungan pertama Fidan ke negara itu selepas Parti Buruh mengambil alih kuasa setelah Pilihan Raya Umum pada Julai lalu.

Beliau dijadualkan bertemu dengan Setiausaha Luar, David Lammy dan pegawai lain.

Difahamkan, Turkiye dan Britain telah menjalinkan perkongsian strategik sejak 2007 dan hubungan itu menjadi semakin penting sejak Brexit setelah London meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 2020.

Menurut laporan Hurriyet Daily News yang memetik sumber rapat, Fidan juga akan menzahirkan rasa puas hati dengan kemajuan hubungan dua hala dalam semua domain termasuk kerjasama ekonomi dan industri pertahanan.

Sebelum ini, Ankara telah bersetuju untuk berunding tentang hal perdagangan bersama kerajaan terdahulu, namun terpaksa ditangguhkan kerana pilihan raya awal yang menyaksikan Parti Konservatif tewas kepada pembangkang.

Meskipun rancangan awal tergendala, kerajaan kini yang dipimpin Parti Buruh bersedia untuk meluaskan skop perjanjian perdagangan bebas bersama Turkiye.

Nilai perdagangan bilateral mencecah AS$20 bilion (RM88 bilion), baru-baru ini dan kedua-dua sekutu tersebut berhasrat mahu meningkatkan jumlah itu kepada AS$30 bilion (RM130.8 bilion) untuk tempoh beberapa tahun akan datang.

Artikel Berkaitan:

Selain kerjasama sedia ada, Fidan juga akan menggariskan kepentingan pelaburan dalam bidang baharu termasuk tenaga dan pengangkutan.

Dialog Turkiye-Britain itu turut merangkumi transformasi digital dan hijau memandangkan Ankara merupakan salah sebuah daripada 28 negara yang menyertai Sidang Kemuncak Keselamatan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) di London pada November 2023.

Antara topik penting lain yang akan dibincangkan mereka adalah usaha bersama untuk memperluaskan kerjasama industri pertahanan memandangkan kedua-dua negara tersebut adalah rakan kongsi lama dalam bidang itu terutamanya penerbangan.

Salah satu isu semasa yang bakal dibentangkan di meja rundingan itu adalah tentang hasrat Turkiye untuk membeli sebanyak 40 pesawat perang Eurofighter dari pakatan disertai Berlin, Sepanyol dan Itali yang diketuai Britain.

Sebelum ini, Canselor Jerman, Olaf Scholz sudah memberi lampu hijau dan sumber rapat itu percaya kadar jualan jet Eurofighter dijangka meningkat setelah Fidan dan Lammy dijadualkan membincangkan bagaimana proses tersebut akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Ankara dan London juga akan menyentuh tentang krisis yang semakin meningkat di Asia Barat dan konflik berterusan Rusia-Ukraine.

Fidan mewakili pemerintah akan mengulangi kenyataan tegas bahawa Turkiye tidak mahu perang lebih meluas tercetus di rantau berkenaan selain bertukar pandangan tentang usaha rundingan damai untuk menguatkuasakan gencatan senjata di Gaza menggunakan formula penyelesaian dua negara. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!