Jualan pakaian, barang keperluan Deepavali perlahan
KUANTAN - Jualan pakaian dan barang keperluan sempena perayaan Deepavali tahun ini agak perlahan dan ia tidak semeriah dua tahun dulu.
Peniaga, A Sivanesen, 59, berkata, situasi itu menjadi lebih ketara selepas wujudkan pembelian secara dalam talian melalui platform seperti TikTok sehingga menyebabkan pelanggan berkurangan.
"Kini, jualan saya hanya bergantung kepada pelanggan yang tidak mahir dengan teknologi atau mereka tidak selesa untuk membeli secara dalam talian.
"Mereka ini ada datang membeli secara bersemuka, tapi jumlahnya tidak ramai berbanding dulu, apabila ramai pelanggan bersesak di kedai untuk membeli kelengkapan raya," katanya ketika ditemui di premis perniagaan di Bandaraya Kuantan di sini pada Selasa.
Sivanesen menjalankan menjual pakaian dan pelbagai hiasan lebih 30 tahun menambah, kebanyakan pelanggan yang datang membeli di kedai lebih memilih produk berkualiti pada harga berpatutan.
"Pakaian yang kita jual berkualiti dan kami tawaran harga sekitar RM150 sepasang dan ada juga yang lebih rendah iaitu antara RM50 hingga RM75," tambahnya lagi.
Berlainan pula dengan peniaga muruku dan mercun, K Muniandi, 40, mengaku masih menerima sambutan daripada pelanggan walaupun keadaan situasi ekonomi tidak menentu.
Dia yang sudah berniaga hampir lapan tahun berkata, jualan tahun ini kekal stabil walaupun sedikit berbeza daripada dahulu.
"Pelanggan masih ada, Melayu pun ada datang beli muruku. Ada yang cuba tawar harga, tetapi kita cuba bagi harga terbaik," ujarnya.
Senada dengan itu, peniaga bunga, K Shiela, 53, berkata, trend pembelian pada ketika ini sudah berubah.
"Sekarang ini pelanggan tidak seramai dulu, tapi masih ada yang membeli bunga untuk sembahyang dan mandi pada hari raya," jelasnya.
Sementara itu, pesara, V Shachi, 65, memberitahu, dia dan keluarga sedang membuat persiapan untuk pulang ke kampung halaman di Taiping, Perak.
“Malam ini saya akan balik Ipoh, setakat ini persiapan masih belum siap sepenuhnya, tapi saya akan beli baju raya di sana (Taiping),” ujar bapa kepada empat anak itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!