Hampir 1,000 kompaun terhadap peniaga warga asing di Ampang Jaya
AMPANG - [DIKEMAS KINI] Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) telah melaksanakan operasi secara berkala terhadap peniaga warga asing di Pandan Mewah sejak awal tahun ini.
Yang Dipertua MPAJ, Dr Ani Ahmad berkata, dalam tempoh sama, MPAJ turut melaksanakan tiga operasi bersepadu dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di kawasan tersebut.
"Kita turut menyita pelbagai barangan yang dijual oleh peniaga warga asing di padang Pandan Mewah.
"Sebanyak 998 kompaun dan 334 sitaan telah dilaksanakan terhadap peniaga warga asing sejak awal tahun ini," katanya kepada Sinar Harian, selepas menghadiri Mesyuarat Penuh Majlis Bil 10/2024 di Menara MPAJ, di sini, pada Selasa.
Ani berkata, semakan lanjut mendapati sebahagian kedai di kawasan itu penyewanya adalah warga tempatan yang disyaki menggajikan pekerja warga asing.
"Kita telah memohon Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memberi taklimat berkaitan menangani isu warga asing di lokasi berkenaan," katanya.
Beliau berkata, MPAJ hanya boleh bertindak mengikut lunas perundangan sedia ada.
"Tindakan penguatkuasaan dilaksanakan oleh MPAJ di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (MPAJ) 2007 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (MPAJ) 2007," katanya.
Menurutnya, bagi pelanggaran sebarang syarat lesen perniagaan melibatkan warga asing khususnya menggajikan warga asing tanpa sebarang permit yang sah, tindakan penguatkuasaan dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 4(4)(c).
"Jika ingkar, boleh dikompaun bawah UUK 46 (1) kadar kompaun maksimum RM1,000," ujarnya.
Menurutnya, MPAJ melalui Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan juga sentiasa membuat semakan premis yang menggajikan warga asing.
"Sebanyak 12 premis telah dikenal pasti menggajikan warga asing tanpa permit di Pandan Mewah pada April dan Mei lalu," katanya.
Ani berkata, Notis Pembatalan Lesen (NPL) telah dikeluarkan dan sebanyak tujuh premis yang telah memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari.
"Notis Pengesahan Pembatalan Lesen (NPPL) telah dikeluarkan kepada lima premis yang gagal memberi maklum balas dalam tempoh 14 hari dari tarikh NPL dikeluarkan," ujarnya.
Ani berkata, berdasarkan maklumat daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) terdapat tiga kumpulan warga asing tertinggi di Ampang adalah warga Myanmar (Rohingya, Chin dan lain –lain), Afghanistan dan Syria.
"Operasi bersepadu bersama pihak polis JIM dan Jabatan Penguatkuasa MPAJ bagi memastikan kesemua premis perniagaan di kawasan pentadbiran MPAJ mematuhi syarat lesen perniagaan yang ditetapkan," ujarnya.
Terdahulu, penduduk Pandan Mewah, di sini, meluahkan rasa kecewa dan sedih apabila isu lambakan warga asing dipercayai tidak mempunyai dokumen sah selain pemegang kad UNHCR tidak dapat ditangani dengan berkesan.
Berikutan itu, wartawan Sinar Harian telah membuat tinjauan di kawasan penempatan itu bagi memastikan dakwaan terbabit.
Tinjauan mendapati, penempatan itu merangkumi 12 blok flat selain terdapat beberapa premis perniagaan termasuk kedai makan, kedai runcit dan kedai cuci kenderaan.
Kawasan itu turut dilengkapi dengan padang permainan, namun tinjauan mendapati lokasi itu ibarat dikuasai 'orang luar' terutama pada waktu petang seawal jam 5 petang.
Ada yang berniaga pakaian, makanan dan peralatan dapur seperti pinggan, periuk dan mangkuk.
Lebih 'menakutkan', biar pun dipercayai ada antara warga asing itu yang tidak memiliki dokumen sah, mereka seperti bebas bergerak selain bekerja di premis kedai dan menjual barangan di kaki lima.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!