Hilman ketuai Armada Bersatu
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham diumumkan sebagai Ketua Armada Bersatu bagi penggal 2024-2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Abdul Azim Mohd Zabidi memaklumkan, Hilman memperoleh 1,888 undi mengatasi pencabarnya, Akmal Zahin Zainal Zahir dengan 170 undi yang meraih 1,718 undi.
"Naib Ketua Armada pula adalah Muhammad Faiz Rahmad yang meraih 1,790 undi, diikuti Izhar Shah Arif Shah (1,287) dan Ad Adib Shaharuddin (490).
"Bagi Pengerusi Tetap sayap itu pula Muhamad Amerul Muhamad (1,799) dan Timbalannya, Mohd Firdaus Mohd Zaini (1,867)," katanya dalam sidang media pada Selasa.
Abdul Azmin berkata, sejumlah 111 Pemuda bahagian bersidang dan berdasarkan kertas undi diterima, jumlah kehadiran adalah 42 peratus daripada perwakilan yang layak hadir iaitu 9,076 orang.
Tambah beliau, JPP menerima sebanyak 27 aduan dan bantahan antaranya berkaitan peraturan persidangan, tatacara pemilihan, prosedur pengeluaran kertas undi, keabsahan perwakilan dan prosedur pengiraan undi.
“JPP pusat telah membuat keputusan sewajarnya mengikut bidang kuasa dimiliki, yang diberikan perlembagaan parti dan Majis Pimpinan Tertinggi (MPT),” jelasnya.
Sementara itu, Muhammad Hilman ketika ditemui pemberita berkata, misi utamanya adalah memperkukuhkan sayap Bersatu itu dalam usaha memenangkan Bersatu dalam pilihan raya.
Ketika diajukan soalan tentang kerjasama dengan Akmal Zahin, beliau menerangkan bahawa mereka akan terus berjuang bersama-sama sebagai keluarga besar dan akan diberikan peranan.
"Peranan kami adalah untuk menang dalam pilihan raya dan setiap ahli dalam Bersatu adalah aset untuk membawa kekuatan untuk kita menang,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!