Kerajaan tidak pilih kasih, MIDA bawa pelaburan RM32 bilion ke Kedah
SHAH ALAM - Kerajaan Madani tidak mengamalkan sikap pilih kasih apabila membawa masuk pelaburan bernilai berbilion ringgit ke empat buah negeri yang ditadbir oleh Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil berkata, enam bulan lalu Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah membawa masuk pelaburan sebanyak RM32 bilion ke Kedah.
Menurutnya, ini membuktikan kerajaan menjunjung prinsip federalisme di mana rakyat di empat negeri ini berhak menikmati pembangunan secara seimbang.
“Bukan itu sahaja, bahkan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengangkat kebajikan dan kemajuan Perlis, Kelantan, Terengganu dan Kedah.
“Belanjawan 2025 menyebut akan mewujudkan perkumpulan ekonomi mengikut keistimewaan negeri seperti industri kimia khusus di Pahang dan Terengganu, serta tenaga boleh baharu di Perlis dan Sabah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, SG4 Group Sdn Bhd (SG4 Group) hampir 14 bulan berlalu sejak diumumkan dan walaupun PN mendakwa komitmen pelaburan sudah diterima daripada Korea Selatan, Jepun dan China, namun tiada sebarang nama pelabur diumumkan.
“Jika benar wujud pelaburan tersebut, adakah PN telah mencapai nilai pelaburan tersebut tanpa sebarang bantuan agensi persekutuan seperti MIDA?
“Hakikatnya, tanpa MIDA, negeri seperti Kedah tidak akan menikmati majoriti pelaburan asingnya sekarang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!