150 cedera, 10 kritikal dalam insiden bunga api di Kerala, India

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
A
A
A

NEW DELHI - Lebih 150 orang cedera, sebahagiannya kritikal akibat insiden letupan bunga api semasa perayaan kuil di negeri Kerala, India selatan, kata pegawai pada Selasa.

Kemalangan berlaku lewat malam Isnin di daerah Kasaragod, kira-kira 555 km utara Thiruvananthapuram, ibu negeri Kerala.

"Mereka yang cedera segera dibawa ke hospital di Kasargod, Kannur, dan Mangaluru. Keadaan 10 orang dilaporkan kritikal," kata seorang pegawai polis, menurut laporan Xinhua.

Visual yang disiarkan di televisyen dan dimuat naik ke media sosial di tempat kejadian menunjukkan bunga api menyebabkan kebakaran besar dan kepulan asap. Insiden berlaku ketika pertunjukan bunga api berlangsung sekitar tengah malam dan ketika itu ramai berkumpul di kawasan kuil untuk menyaksikannya.

Pegawai polis mengesyaki satu daripada bunga api mungkin jatuh ke dalam stor berdekatan yang menyimpan lebih banyak bunga api, lalu mencetuskan kebakaran.

"Kami diberitahu ketika orang ramai sedang menyaksikan pertunjukan bunga api, stor itu tiba-tiba meletup dengan api dan asap yang besar, menyebabkan orang ramai di sekitarnya mengalami kecederaan akibat lecur," kata pegawai itu.

Laporan media tempatan yang memetik pegawai daerah pula berkata bunga api disimpan berdekatan dengan lokasi pertunjukan itu berlangsung.

Polis menahan pegawai jawatankuasa kuil dan memerintahkan siasatan dijalankan mengenai kemalangan itu. - Bernama/Xinhua

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!