Kibar bendera China: Kertas siasatan sudah lengkap
IPOH - Polis Perak memaklumkan kertas siasatan insiden mengibarkan bendera negara China di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Khamis lalu sudah lengkap.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, kertas berkenaan dirujuk ke Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5), Bukit Aman pada Selasa sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
"Kita menunggu arahan untuk tindakan susulan sama ada perlu menambah bukti atau meneruskan dengan pertuduhan di mahkamah.
"Kesemua 16 warga China yang diambil keterangan sebelum ini bagi membantu siasatan kes kibar bendera negara asing itu disahkan masih berada dalam negara," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada Selasa.
Menurut Azizi, mereka terdiri lapan lelaki dan lapan wanita yang berusia antara 40 hingga 61 tahun itu telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan polis dijalankan.
"Semakan mendapati penganjur membuat permohonan kebenaran untuk menganjurkan perarakan kereta berhias berunsur keagamaan itu.
"Pihak penganjur didapati melanggar syarat permit kerana membenarkan warganegara asing turut serta dalam perarakan itu dan tiga daripadanya telah diambil keterangan," katanya.
Tambah Azizi, sebanyak 61 laporan polis diterima berhubung perarakan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibarkan bendera asing semasa perarakan.
Sebelum ini, tular satu rakaman memaparkan berlangsungnya satu perarakan dengan mengibarkan bendera China di Teluk Intan, Perak.
Sinar Harian melaporkan penganjur Sambutan Guan Gong Sedunia di Stesen Malaysia tampil memohon maaf susulan penularan video perarakan sambil mengibar bendera China di Menara Condong Teluk Intan pada Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!