Dewan Rakyat kecoh dakwaan cuba cetus sentimen perkauman
KUALA LUMPUR - Sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat kecoh pada Selasa apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mendakwa seorang ahli Parlimen pembangkang cuba mencetuskan sentimen perkauman.
Rayer mendakwa ucapan Wan Razali Wan Nor (PN-Kuantan), mengelirukan kerana mengaitkan isu kewarganegaraan dengan insiden mengibar bendera China yang berlaku di Johor Bahru, Johor dan Teluk Intan, Perak, baru-baru ini.
Sebelum itu, Wan Razali membahaskan Belanjawan 2025 sambil memetik laporan berita mengenai sasaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyelesaikan 17,000 permohonan kewarganegaraan tahun ini serta KDN membuat keputusan 17,452 permohonan setakat 1 Oktober lalu.
"Pertanyaan saya, adakah kementerian mempunyai sasaran baru sehingga hujung tahun ini dan saya juga ingin mendapatkan maklumat berkaitan kelulusan kewarganegaraan sehingga 1 Oktober itu mengikut pecahan bangsa, negeri dan usia.
"Kewarganegaraan anugerah tertinggi bagi setiap yang berjaya mendapatkan kerakyatan, kita ingin ingatkan jangan ada kalangan mereka terlupa kesetiaan perlulah diberikan sepenuhnya kepada negara ini.
"Kita tidak mahu selepas mendapat warganegara ada pula yang berhimpun membawa bendera masing-masing di negara yang kita sayangi ini tanpa mengikut saluran undang-undang kita," katanya.
Sejurus itu, Rayer bangun memohon kepada Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (6) dan 36 (10) (c) dengan mendakwa kenyataan Wan Razali tidak bertanggungjawab.
Pada masa sama, Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) dan Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) turut mencelah meminta Rayer supaya tidak menjadi batu api.
Berikutan itu, Alice meminta Wan Razali menjelaskan kenyataannya.
Keadaan bertambah tegang apabila Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) bangkit menggunakan Peraturan Mesyuarat 36 (4) dengan memanggil Rayer sebagai kurang ajar.
Berang dengan kekecohan yang timbul, Wan Razali dengan nada marah meminta Rayer melihat semula hansard sambil mengulangi kenyataan awalnya.
"Kita tidak mahu selepas mendapat warganegara... jadi ada pula yang berhimpun membawa bendera masing-masing.
"Apakah yang salah di situ kita tidak mahu merujuk kepada tidak mahu. Ini peringatan kepada semua tidak tertakluk kepada seseorang saja dan Jelutong kena faham sebagai seorang bijak dan orang lama.
"Jadi tak ada kena-mengena dengan sesiapa, jadi apa masalahnya Jelutong? Saya sebagai warganegara Malaysia, saya ingatkan kepada semua bukan kepada sesiapa," katanya.
Bagaimanapun Rayer masih tidak berpuas hati, namun kekecohan terkawal apabila Alice berjaya mengawal keadaan dan meminta Rayer menyemak hansard dan menghantar usul sekiranya perlu.
"Yang Berhormat Jelutong, Yang Berhormat Kuantan tidak sebut mana-mana negara tadi saya tak mahu bazir masa lagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!