Keputusan ditukar saat akhir, calon Ketua Srikandi Muda kecewa

Penggantungan beberapa bahagian di seluruh negara bagi parti Bersatu daripada terlibat dalam proses pemilihan parti yang akan berlangsung pada 26 Oktober dan 2 November ini kemungkinan besar tidak akan ditarik semula. (Gambar kecil: Nurul Fadzilah)
Penggantungan beberapa bahagian di seluruh negara bagi parti Bersatu daripada terlibat dalam proses pemilihan parti yang akan berlangsung pada 26 Oktober dan 2 November ini kemungkinan besar tidak akan ditarik semula. (Gambar kecil: Nurul Fadzilah)
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang calon yang bertanding jawatan Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kecewa dengan perjalanan proses pemilihan sayap-sayap parti itu yang didakwa sangat bermasalah sehingga menyaksikan keputusan asal ditukar pada saat akhir.

Bekas Ketua Srikandi Muda Bersatu penggal lalu, Nurul Fadzilah Kamaruddin berkata, beliau terkejut dengan keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang bertindak menangguhkan keputusan pemilihan sayap Srikandi Muda pada malam hari mengundi (Sabtu), meskipun pihaknya dimaklumkan telah memenanginya.

Jelasnya, tindakan JPP menangguhkan keputusan pemilihan selama dua hari telah menyebabkan beliau memohon penjelasan, namun tiada sebarang maklum balas diterima daripada Jawatankuasa Pengurusan Parti mahu pun JPP sendiri.

"Secara keseluruhannya, keputusan itu amat mengecewakan kerana proses pengundian tidak dilaksanakan JPP dengan baik.

"Beberapa perkara telah ditukar pada saat akhir tanpa sebarang maklum balas diberikan JPP kepada sayap Srikandi Muda dan bahagian-bahagian terlibat.

"Contohnya bahagian yang layak bersidang dan memilih tidak dibenarkan bersidang pada hari pengundian, bagaimanapun ada beberapa bahagian yang tidak layak bersidang sebaliknya dibenarkan melaksanakan pemilihan," katanya kepada Sinar Premium.

Kemenangan Nurul Ezzati Azmi sebagai calon Ketua Srikandi Muda baharu dipertikaikan bekas penyandangnya, Nurul Fadzilah Kamaludin kerana didakwa dipengaruhi pemimpin tertentu dalam parti.
Kemenangan Nurul Ezzati Azmi sebagai calon Ketua Srikandi Muda baharu dipertikaikan bekas penyandangnya, Nurul Fadzilah Kamaludin kerana didakwa dipengaruhi pemimpin tertentu dalam parti.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekalahan kepada Ketua Srikandi Muda baharu, Nurul Ezzati Azmi pada pemilihan sayap parti berkenaan yang turut ditandingi seorang lagi calon, Hefvihervina Rohayu Hariyanto dari Bersatu Bahagian Ayer Hitam.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi JPP Bersatu, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi pada petang Isnin, bagaimanapun jumlah keseluruhan undi diterima ketiga-tiga calon Ketua Srikandi Muda tidak dinyatakan.

Mengulas lanjut, Nurul Fadzilah turut mendakwa terdapat campur tangan beberapa individu berpengaruh yang membuat ugutan kepada perwakilan-perwakilan Srikandi Muda bagi memilih calon tertentu.

Berikutan itu, beliau berpandangan kes campur tangan individu-individu berpengaruh dalam parti ini telah menyebabkan proses demokrasi tidak berjalan dengan baik.

"Di sebalik permasalahan itu, saya sentiasa berbesar hati untuk meraikan demokrasi dalam parti melalui pelaksanaan proses pemilihan Bersatu.

"Cuma saya kesal dengan proses pemilihan kali ini yang secara jelas berada di bawah pengaruh individu tertentu yang pastinya sudah menghancurkan proses demokrasi, meskipun secara permukaannya tiada pengaruh cai berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!