Anwar nafi wujud ketirisan tender pembekalan makanan ATM

Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama
Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan wujud pelanggaran tata kelola dalam pengagihan tender bagi membekalkan makanan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), melibatkan syarikat yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul.

Menurutnya, pemberian tender berkenaan adalah di bawah pengetahuan dan kelulusan beliau selaku Menteri Kewangan.

Justeru beliau membidas tindakan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh kerana membuat dakwaan semberono tanpa fakta dalam isu tersebut.

"Seperti mana saya dengar ucapan Pasir Puteh sebelum ini, bahawa Menteri Kewangan tidak ikut tata kelola dalam pengagihan kontrak kepada D’Saji (Felda D’Saji Sdn Bhd) dan Bukit Gantang... itu tak benar sama sekali. Saya yang sign (tanda tangan), jadi saya tahu.

"Pasir Puteh dengar dari mana? Dari TikTok? Ini belajar dari mana? Satu lagi dengar dari WhatApps... tak rujuk fakta... bila bercakap... atas nama Islam, rujuk al-Quran, tapi bila hentam tak peduli.

"Pasir Puteh, kita nak beritahu, kita tidak ada tolak ansur dalam soal tata kelola (termasuk) dalam pengagihan untuk 85 peratus subsidi RON95 itu kita tetap pertahankan.

"Jadi jangan pusing, jangan putar, jangan buat tuduhan melulu dalam dewan ini,"katanya ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau membangkitkan berkenaan isu pemberian tender itu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PH-Pasir Puteh) berkenaan mekanisme yang akan diambil kerajaan dalam memastikan tidak berlaku pelanggaran tata kelola atau ketirisan dalam pelaksanaan pelarasan subsidi RON95 kelak.

Artikel Berkaitan:

Nik Muhammad Zawawi ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 pada Isnin, mendakwa, beliau mempunyai maklumat perbualan melalui aplikasi WhatsApp antara Syed Abu Hussin dengan seorang pegawai berkaitan tender bagi membekalkan makanan kepada ATM.

Beliau mendakwa, dalam perbualan dengan seorang pegawai itu, terdapat bahagian yang menyebut `bahagian Datuk pun ada...’ seolah-olah memperlihatkan wujud elemen rasuah atau salah guna kuasa dalam urusan tender tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!