Terowong ECRL Gombak catat penembusan sebulan lebih awal

Terowong Gombak sepanjang 959 meter bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kejayaan penembusan sebulan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. Foto Facebook Ng Sze Han
Terowong Gombak sepanjang 959 meter bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kejayaan penembusan sebulan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. Foto Facebook Ng Sze Han
A
A
A

SHAH ALAM - Terowong Gombak sepanjang 959 meter bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) mencapai kejayaan penembusan sebulan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.

Malaysia Rail Link (MRL) menerusi satu kenyataan bersama China Communication Construction (CCC) berkata, kerja-kerja tersebut dilakukan dengan menggunakan kaedah ‘gerudi dan letup’ yang menembusi kebanyakan granit lapuk.

“Ia (terowong) menjadikan terowong ECRL ke-36 yang telah selesai dengan kerja-kerja pengorekan setakat ini.

“Pembinaan terowong ini akan membolehkan landasan kereta api ECRL mematuhi kecerunan maksimum 0.9 peratus serta mengurangkan penebangan hutan terbuka yang ketara di kawasan Batu 11 Gombak,” kata kenyataan berkenaan pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, penembusan Terowong Gombak membuktikan teknologi pengorekan maju serta dedikasi padu pasukan yang terlibat.

Menurutnya, pencapaian itu akan mendorong pengorekan baki terowong ECRL untuk diselesaikan dalam tempoh jangka masa yang ditetapkan.

“Penembusan Terowong ECRL Gombak menandakan satu lagi pencapaian dalam kemajuan projek ini, kerana ia merupakan komponen penting untuk menyiapkan jajaran ECRL dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor menjelang Disember 2026.

Artikel Berkaitan:

Penembusan Terowong Gombak membuktikan teknologi pengorekan maju serta dedikasi padu pasukan yang terlibat. Foto Facebook Ng Sze Han
Penembusan Terowong Gombak membuktikan teknologi pengorekan maju serta dedikasi padu pasukan yang terlibat. Foto Facebook Ng Sze Han

“Kami optimis untuk memulakan pengoperasian ECRL dari Januari 2027 selaras aspirasi rakyat dan komuniti perniagaan dengan menyediakan pengangkutan yang lancar untuk penumpang dan kargo,” tambahnya.

Pada masa sama, Pengarah Urusan CCC ECRL, Kong Qi menyatakan bahawa penembusan Terowong Gombak adalah satu pencapaian penting dan mencerminkan dedikasi serta kepakaran seluruh pasukan.

“Pencapaian ini menekankan komitmen kami untuk menggunakan teknologi terowong yang maju serta memupuk kerjasama kukuh antara semua pihak berkepentingan.

“Kami fokus untuk mengekalkan momentum ini bagi menyediakan pengangkutan yang selamat, boleh dipercayai dan efisien. Bersama-sama kita membina masa depan yang lebih cerah dan kesalinghubungan yang lebih baik untuk Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!