Suri rumah, dua kenalan lelaki ditahan bersama 20kg syabu
GEORGE TOWN - Polis Pulau Pinang merampas 19 bungkusan dadah jenis syabu dengan anggaran berat 20 kilogram bernilai RM640,000 di beberapa lokasi di Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT).
Susulan daripada itu, polis dari menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan dalam tiga serbuan yang diadakan serentak antara jam 4 petang 28 Oktober hingga 2 pagi, 29 Oktober.
Ketiga-tiga suspek merupakan kenalan yang mana, suspek pertama bekerja sebagai mekanik, suspek kedua suri rumah dan suspek ketiga, seorang peniaga.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, selain rampasan dadah itu, pihaknya turut menyita sebuah kereta jenis BMW, seutas rantai leher, seutas gelang tangan dan sepasang subang.
Menurutnya, jumlah sitaan bernilai RM65,686 menjadikan jumlah keseluruhan sitaan dan rampasan dadah adalah RM705,686.
"Operasi terancang ini dijalankan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang di beberapa kawasan di negeri ini.
"Dalam operasi itu, kita berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 25 hingga 39 tahun dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah jenis syabu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut mengenai tangkapan tersebut, Hamzah berkata, dalam serbuan pertama, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita di kawasan parkir di Butterworth.
"Dalam tangkapan tersebut, kita merampas satu beg kain berwarna biru yang mengandungi satu bungkusan plastik lut sinar dadah jenis syabu anggaran berat 1,036 gram.
"Susulan daripada itu, kita menahan seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket di sebuah rumah di kawasan Bukit Mertajam, SPT. Tiada rampasan dadah dibuat dalam tangkapan tersebut," katanya.
Tambah beliau, hasil tangkapan lelaki tersebut, polis merampas dadah di kawasan Butterworth, SPU.
"Kita berjaya merampas sebuah kotak kertas mengandungi 12 bungkusan dadah yang dibungkus menggunakan bungkusan teh Cina berwarna hijau dan dicetak dengan perkataan 'Guanyingwang.
"Hasil pemeriksaan, semua bungkusan itu mengandungi hablur disyaki syabu seberat 12,643 gram. Kita turut menjumpai satu bungkusan plastik berzip bertulis 'Love Bear' yang mengandungi enam bungkusan plastik berwarna hijau yang sama.
"Di dalam bungkusan plastik hijau tersebut didapati mengandungi hablur disyaki syabu dengan anggaran berat 6,321 gram," katanya.
Hamzah berkata lagi, hasil risikan mendapati sindiket pengedaran dadah itu bergiat aktif pada awal bulan ini untuk pasaran tempatan.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 100,000 orang atau untuk 100,000 kali penggunaan.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif sebarang jenis dadah. Semakan juga mendapati kesemua tangkapan mempunyai rekod lampau kesalahan dadah dan jenayah," katanya.
Ujar beliau, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama enam hari bermula 29 Oktober sehingga 3 November ini untuk siasatan.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan.
"Kita akan terus berusaha meningkatkan usaha bagi memerangi kegiatan pengedaran dadah untuk memastikan kegiatan aktiviti dadah dibanteras habis-habisan.
"Kolaborasi bersama lain-lain agensi akan diadakan dalam perkongsian maklumat serta pembanterasan dadah secara menyeluruh," katanya.
Tambah Hamzah, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah atau jenayah narkotik boleh salurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia di talian hotline 012-2087222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!