Polis buru penunggang motosikal larikan diri ketika ditahan
PETALING JAYA - Tindakan seorang penunggang motosikal melanggar lampu isyarat merah sebelum melarikan diri apabila dikejar anggota polis mengundang padah apabila dikesan dalam kejadian di Dataran Bandar Utama, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 pagi ketika anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) IPD Petaling Jaya menjalankan rondaan sekitar lokasi berkenaan.
"Anggota bertugas kemudiannya melihat suspek dipercayai seorang lelaki menunggang motosikal serta melanggar lampu isyarat di lokasi kejadian.
"Suspek kemudian dikejar anggota bertugas serta diarahkan untuk berhenti, bagaimanapun suspek bertindak melarikan diri memasuki Jalan Masjid menghala ke Pekan Kayu Ara," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, suspek cuba dikesan sehingga di kawasan perumahan Kayu Ara namun tidak ditemui.
"Suspek dipercayai melarikan diri meredah sungai di lokasi sebelum meninggalkan motosikalnya berdekatan sungai itu.
"Motosikal suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Damansara untuk tindakan lanjut," katanya.
Menurutnya, semakan mendapati motosikal berkenaan didaftarkan atas nama seorang wanita tempatan.
"Selain itu, semakan dijalankan juga mendapati tiada rekod kehilangan yang dilaporkan.
"Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.
Shahrulnizam berkata, sebarang maklumat berhubung kejadian boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mejar Muhammad Syafiq Razali di talian 017-5707270.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!