Hantaran isu 3R: SKMM ambil keterangan Razman
PUTRAJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria semalam, atas hantaran yang didakwa bersifat palsu dan jelik yang dimuat naik di akaun Facebook Haji Razman Zakaria.
SKMM memaklumkan pasukan penguat kuasanya hari ini, juga telah mengambil keterangan pentadbir akaun Facebook berkenaan dan menyita kelengkapan komunikasi milik pentadbir akaun tersebut, iaitu sebuah unit telefon bimbit dan satu unit kad sim yang digunakan bagi membantu siasatan.
Menurut SKMM, hantaran itu melibatkan beberapa isu sensitif berbaur perkauman termasuk isu kibaran bendera negara asing semasa perarakan sambutan ‘Malaysia Guang Ze Zun Wang Cultural Festival 2024’ baru-baru ini.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melarang pembuatan dan penghantaran komen atau komunikasi yang antara lain, bersifat mengancam, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pihak SKMM mengingatkan masyarakat supaya sentiasa cakna dan berhati-hati sebelum memuat naik sebarang kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam terutamanya isu 3R (Raja, agama, kaum).
Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada, menurut kenyataan itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!