Polis siasat kesahihan kad pengenalan, lesen memandu ditemukan di Ukraine - KPN

Razarudin Husain
Razarudin Husain
A
A
A

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat kesahihan maklumat berhubung dakwaan penemuan kad pengenalan dan lesen memandu Malaysia dipercayai milik rakyat negara ini di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, PDRM sedang menyemak kesahihan dakwaan itu dengan mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar Negeri.

Sebelum ini tular beberapa keping gambar yang menunjukkan dokumen pengenalan diri MyKad dan lesen memandu rakyat Malaysia ditemukan di medan pertempuran antara Ukraine dan Rusia.

Laporan itu mendakwa dokumen itu ditemui selepas kejayaan tentera Rusia menawan kubu tentera Ukraine di Levadne, Zaporizhia, Ukraine.

Sementara itu, Kementerian Luar Negeri dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan buat masa ini, pihaknya tidak dapat mengesahkan kesahihan maklumat itu dan menyarankan rakyat Malaysia untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan diri ketika di luar negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!