Sabah catat kemenangan hatrik dalam Liga Super

Pemain Sabah FC meraikan jaringan penyerang Sabah FC Gary Robbat (dua, kiri) pada aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas, pada Selasa. Foto Bernama
Pemain Sabah FC meraikan jaringan penyerang Sabah FC Gary Robbat (dua, kiri) pada aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Likas, pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

SABAH FC mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan Liga Super apabila berjaya menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 5-2 di Stadium Likas di sini pada Selasa.

Sabah dalam dua perlawanan sebelum ini menewaskan Perak FC 4-2 di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, Perak pada 19 Oktober lepas dan Penang FC 4-0 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Jumaat lepas.

Pada perlawanan malam ini, Sabah membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Saddil Ramdani yang cemerlang menyempurnakan sepakan penalti selepas Mohd Rizal Ghazali menjatuhkan Gabriel Peres dalam kotak penalti.

Tiga minit sebelum separuh masa pertama, Kedah berjaya menyamakan kedudukan menerusi pemain pertahanan Jose Cleylton apabila menanduk masuk sepakan penjuru Sukhron Burullaev.

Bersambung babak kedua, anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak menunggu lama untuk kembali mendahului apabila João Pedro tenang menyudahkan hantaran pendek daripada Daniel Ting pada minit ke-48 untuk gol kedua skuad Sang Badak.

Kedah diterajui Mohd Nafuzi Zain kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-68 apabila Milos Gordic berjaya mencuri peluang dalam situasi kelam kabut di pintu gol Sabah sebelum Ahmad Zuhadi mengesahkan jaringan itu setelah semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Penyerang Sabah FC, Miguel Angel (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC Jose Cleylton (kanan) pada saingan Liga Super di Stadium Likas, pada Selasa. Foto Bernama
Penyerang Sabah FC, Miguel Angel (kanan) cuba melepasi pemain pertahanan Kedah Darul Aman FC Jose Cleylton (kanan) pada saingan Liga Super di Stadium Likas, pada Selasa. Foto Bernama

Artikel Berkaitan:

Berselang lima minit kemudian, Sabah sekali lagi di hadapan apabila larian pantas João Pedro berjaya melepasi perangkap ofsaid pertahanan Kedah sebelum bola lambungnya menewaskan penjaga Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim, memberikan jaringan kedua dalam perlawanan ini buat penyerang Brazil itu.

Sabah meledak gol keempat pada minit ke-84 apabila pemain gantian S. Kumaahran berjaya menyudahkan hantaran daripada Muhammad Farhan Roslan.

Gary Steven Robbat melengkapkan pesta jaringan buat Sabah untuk gol kelima pada masa tambahan minit ketiga separuh masa kedua (90+3’) dengan hantaran sekali lagi dihidang cantik oleh Muhammad Farhan.

Kemenangan di hadapan 5,006 penonton malam ini menyaksikan Sabah kekal di tangga ketiga Liga Super dengan 23 mata daripada 13 perlawanan, hanya ketinggalan tiga mata di belakang Selangor FC dengan 26 mata dan Johor Darul Ta'zim mendahului dengan 34 mata.

Kedah di tangga ke-10 liga dengan 13 mata daripada 13 perlawanan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!