SME Bank lancar Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 tangani risiko iklim
SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) melancarkan Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 bagi menangani risiko berkaitan iklim.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pelancaran berkenaan bagi menyokong usaha mencapai sasaran kerajaan menjadikan negara neutral karbon menjelang pada 2030.
"Ini adalah salah satu langkah ke hadapan dalam memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai negara yang komited terhadap agenda karbon sifar bersih menjelang 2050.
"Usaha ini juga mengukuhkan kedudukan kita dalam kalangan negara ASEAN sebagai peneraju dalam pembiayaan lestari dan hijau," katanya selepas Majlis Pelancaran Pelan Hala Tuju Kelestarian 2.0 di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Hadir sama, Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim bersama Ketua Pegawai Kelestarian, Zakiah Mat Esa.
Dalam pada itu, menurut Mohammad Hardee, SME Bank telah menetapkan sasaran baharu iaitu untuk mencapai RM10 bilion pembiayaan lestari dan RM1 bilion pembiayaan hijau atau peralihan menjelang 2030.
“Ini akan disokong oleh cadangan pembiayaan inovatif kami, terutamanya Dana Kelestarian RM100 juta yang diberikan kepada SME Bank seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini,” ujarnya.
Beliau berkata lagi, SME Bank melaksanakan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan lebih mendalam, merentasi aspek utama perniagaan usahawan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurutnya, ia sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai Pelepasan GHG Sifar Bersih menjelang 2050.
“Pelan Hala Tuju 2.0 ini melambangkan komitmen kami dalam melaksanakan amalan berkaitan agenda kelestarian, berikutan kejayaan Pelan Hala Tuju 1.0 pada 2021 hingga 2023,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!