Kediaman warga asing jadi stor barang perniagaan diserbu
KUALA LUMPUR - Kediaman warga asing yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan barangan perniagaan di sekitar Taman Batu View di sini diserbu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tindakan khas terhadap warga asing yang menukar status kediaman itu dilaksanakan DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal.
Menurut DBKL, hasil daripada tindakan yang dijalankan, sebanyak lapan tindakan sita serta-merta dilaksanakan terhadap barangan perniagaan warga asing yang diletakkan di kawasan kediaman.
“Tindakan dilaksanakan mengikut Akta Perancangan Wilayah Persekutuan 1982.
“Kesemua barangan yang disita dan dipindah halangan telah dibawa ke stor sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, di sini, untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” menurut pihak berkuasa tempatan itu dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Kenyataan itu turut memaklumkan, pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang dikenal pasti.
Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!