Harga diesel makin turun, tapi harga tiket bas sewa khas makin naik

Ibu bapa kecewa apabila tiket harga bas sewa khas semakin naik. Gambar hiasan
Ibu bapa kecewa apabila tiket harga bas sewa khas semakin naik. Gambar hiasan
A
A
A

BARU-baru ini rakan Merak Jalanan yang mempunyai anak belajar di sekolah berasrama penuh (SBP) melahirkan rasa geram mengenai tiket harga bas sewa khas yang semakin naik.

Anak rakan Merak Jalanan ini belajar di sebuah SBP yang terletak di Perak dan akan menggunakan kemudahan bas sewa khas yang diatur pihak ibu bapa untuk pulang ke rumah di Selangor semasa cuti sekolah.

Menurut rakan Merak Jalanan, selepas kerajaan melaksanakan penyelarasan semula subsidi diesel pada 10 Jun lalu, harga tiket bas sewa khas ini yang biasanya merupakan bas persiaran dinaikkan sebanyak RM2 sehala seorang.

Jika purata bas membawa 40 penumpang, ini bermakna pemilik bas memperoleh RM80 untuk menampung kenaikan harga diesel. Kenaikan ini agak munasabah dan ibu bapa dapat menerimanya tanpa sebarang rungutan.Yang menjadikannya geram ialah apabila harga tiket dinaikkan lagi RM1 selepas itu. Mungkin pemilik bas berasa kenaikan RM2 pada awalnya tidak mencukupi dan perlu ditambah RM1 lagi bagi menampung kenaikan harga diesel.

Begitu pun, untuk balik cuti sekolah sempena perayaan Deepavali kali ini, rakan Merak Jalanan memberitahu tiket bas dinaikkan lagi sebanyak RM2 seorang menjadikan keseluruhan kenaikan sejak penyelarasan semula subsidi diesel ialah RM5 seorang atau tambahan kira-kira RM200 untuk satu bas.Yang peliknya, harga diesel terkini bagi Semenanjung ialah RM2.95 seliter, berkurangan 40 sen seliter jika dibandingkan dengan harga minggu pertama selepas penyelarasan iaitu RM3.35 sen seliter.

Secara logiknya, dengan harga diesel lebih murah 40 sen seliter, tiket bas sewa khas untuk membawa pelajar pulang sepatutnya lebih murah atau sekurang-kurangnya sama seperti di peringkat awal penyelarasan subsidi diesel.

Mungkin betullah kata orang, jika kos naik hari ini, esok harga barangan di Malaysia dah naik. Tapi jika kos turun semula, harga tak pula turun!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!