'Orang bujang jadi takut nak kahwin'

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Hushim)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Hushim)
A
A
A

SHAH ALAM - Perceraian yang kini ibarat trend, amat membimbangkan kerana mampu memberikan kesan ‘tidak sihat’ dengan mempengaruhi corak pemikiran pasangan suami isteri lain terutamanya golongan muda, malah remaja bujang.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, perkara sedemikian tidak wajar dinormalisasi, namun orang awam disarankan hanya mengambil pengajaran daripada kisah perpisahan, bukannya mempercayai bulat-bulat segala aib yang dicanangkan di media sosial.

Menurutnya, ramai pasangan yang meletakkan harapan terlalu tinggi antara satu sama lain, namun kecewa jika permintaan tidak dipenuhi hingga cerai menjadi pilihan terakhir.

“Contohnya, kisah cerai selebriti, orang awam akan terpengaruh dan mengatakan perkara tidak baik, kemudian samakan dengan kisah rumah tangga sendiri.

“Itulah cara berfikir orang awam. Katakanlah iman tidak kuat, mereka akan percaya sahaja, tetapi kalau iman kuat pasti tidak terikut-ikut.

“Golongan bujang pun takut nak kahwin kalau tahu beginilah kehidupan selepas berkahwin. Jadi, ia banyak bergantung kepada gaya asuhan keibubapaan dalam kemenjadian anak,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Baru-baru ini dunia hiburan dikejutkan dengan banyak kes perceraian pasangan selebriti tanah air, malah ada di antara mereka yang sudah lama melayari bahtera rumah tangga.

Episod duka perceraian lebih 10 pasangan artis terkenal yang dihebahkan di media sosial ketika ini mendapat perhatian dan hangat diperkatakan oleh pelbagai pihak, seolah-olah ia dinormalisasikan sehingga menjadi ikutan orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hushim yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam mengendalikan kes krisis rumah tangga berpandangan, pasangan suami isteri yang mempunyai masalah komunikasi perlu menjalani kursus pasca perkahwinan sebagai usaha mempertahankan hubungan.

Tambah beliau, kursus pasca rumah tangga menekankan aspek pengurusan kesihatan keluarga, kewangan, motivasi, psikologi, ibadah dan stres dalam kehidupan bersama pasangan.

“Kursus pra perkahwinan dua hari tidak cukup. Suami isteri kena hadir kursus pasca perkahwinan pula kerana selepas kahwin baru kita kenal pasangan masing-masing

“Masa bercinta semuanya indah, lepas kahwin lain pula jadinya. Justeru, hidup berumah tangga perlu mengikut kemampuan dan terima seadanya, barulah boleh kekal sehingga ke akhir hayat,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!