Penunggang motosikal maut, pembonceng parah nahas dengan MPV
KULAI - Seorang penunggang motosikal maut dan pemboncengnya cedera parah selepas terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer (KM) 25 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam menghala ke Kulai pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tan Seng Lee berkata, kemalangan dipercayai berlaku sekitar jam 10.30 pagi, apabila kedua-dua kenderaan yang datang dari arah sama berlanggar selepas MPV terbabit mengubah haluannya ke sebelah kiri.
“Siasatan awal polis mendapati motosikal jenis Honda Beat yang ditunggang lelaki warga tempatan berusia 31 tahun bersama pemboncengnya berusia 54 tahun, telah dilanggar oleh seorang pemandu MPV jenis Perodua Alza iaitu seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun.
“Siasatan mendapati, MPV berkenaan telah mengubah lorong ke kiri dan telah melanggar motosikal terbabit.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal di lokasi, sementara pemboncengnya turut mengalami kecederaan parah di kepala dan difahamkan masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HAS) Johor Bahru,” katanya.
Seng Lee berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini, untuk bedah siasat.
Katanya, pemandu Perodua Alza pula difahamkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kes di siasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diharap dapat menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Ruslan Mohamed di talian 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!