Sindiket jual sijil cuti sakit palsu tumpas

Balveer Singh
Balveer Singh
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis berjaya melumpuhkan sindiket penipuan sijil cuti sakit palsu selepas tertangkapnya enam individu di lokasi berasingan di sini dan Iskandar Puteri.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, tangkapan dilakukan selepas pihaknya menerima laporan mengenai sijil cuti sakit palsu daripada seorang lelaki berusia 36 tahun pada 17 Oktober lalu.

"Bertindak atas maklumat, pasukan taskforce daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Utara ditubuhkan pada 21 Oktober.

"Pasukan ini telah berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berumur antara 26 hingga 27 tahun di sekitar Iskandar Puteri, Plentong dan Skudai.

"Susulan daripada tangkapan tersebut, tiga lagi suspek ditahan pada 23 Oktober. Suspek yang ditahan di sekitar Skudai dan Masai itu terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tempatan berumur antara 24 hingga 31 tahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, sebanyak 1,363 keping sijil cuti sakit disyaki palsu, wang tunai berjumlah RM40,000, tujuh kad ATM bank dan sebuah motosikal dirampas daripada sindiket.

"Siasatan yang dijalankan mendapati sindiket dipercayai menjual cuti sakit palsu kepada pekerja-pekerja syarikat dan kilang-kilang swasta di sekitar Johor Bahru.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 471 Kanun Keseksaan, Seksyen 474 Kanun Keseksaan, Seksyen 472 Kanun Keseksaan dan Seksyen 11 Akta Mesin dan Penerbitan 1984 (Akta 301)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Balveer Singh berkata, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mendakwa baki suspek yang terlibat.

"Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dalam pemalsuan dokumen kerajaan kerana tindakan tersebut adalah jenayah yang serius dan boleh diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

"Orang ramai yang terkesan dengan perkara ini hendaklah tampil membuat laporan di balai polis berdekatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!