Kenderaan berat halang lalu lintas dikompaun

17 notis tawaran kompaun dan 30 notis halangan lalu lintas dikeluarkan MBPJ dan JPJ.
17 notis tawaran kompaun dan 30 notis halangan lalu lintas dikeluarkan MBPJ dan JPJ.
A
A
A

PETALING JAYA - 17 notis tawaran kompaun dan 30 notis halangan lalu lintas dikeluarkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi halangan lalu lintas di sini malam tadi.

MBPJ dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi pihak berkuasa tempatan itu diadakan bersama JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) di kawasan sekitar Petaling Jaya.

"MBPJ berkolaborasi bersama JPJ dan APAD dalam melaksanakan operasi halangan lalu lintas yang memberi fokus kepada halangan kenderaan berat di kawasan Petaling bermula jam 8 malam.

"Operasi ini tertumpu kepada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di beberapa lokaliti ‘hotspot’ halangan kenderaan berat seperti PJS 1 Petaling Utama, SS8, PJU 10 Prima Damansara dan Damansara Damai.

"Hasil dari operasi tersebut, MBPJ mengeluarkan 17 notis tawaran kompaun, manakala 30 notis halangan lalu lintas dikeluarkan JPJ," menurut MBPJ menerusi kenyataan itu di laman Facebooknya pada Rabu.

Menurut kenyataan itu lagi, objektif operasi dijalankan bagi memastikan pemilik kenderaan berat mematuhi syarat dan garis panduan ditetapkan agensi-agensi berkaitan selain tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan atau menghalang lalu lintas.

Sehubungan itu, pemilik-pemilik kenderaan berat dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak mengabaikan arahan lalu lintas demi keselamatan orang awam.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!