SVTP, LuMIC kukuhkan perjalanan ekonomi Perak
Strategi bestari Pembangunan Silver Valley Technology Park (SVTP) yang terletak di Kanthan, Chemor dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Lumut bakal mengukuhkan kemajuan negeri.
Menyorot sejarah ekonomi negeri, Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, landskap ekonomi awalnya didominasi oleh perlombongan bijih timah dan ladang getah kini mengalami transformasi ketara.
Peralihan ini selaras dengan pandangan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, yang menekankan pentingnya Perak mempelbagaikan ekonominya bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tradisional seperti perlombongan dan keperluan untuk menarik pelaburan dalam teknologi moden dan membangunkan infrastruktur yang kukuh agar Perak dapat bersaing dalam ekonomi global.
Prinsip ini turut diketengahkan dalam buku tulisan baginda sendiri, Globalization: Perak's Rise, Relative Decline, and Regeneration, yang menggariskan kepentingan pembangunan ekonomi yang lebih pelbagai dan bersedia menghadapi cabaran globalisasi.
Menurut Redza Rafiq, industri asas itu yang penting untuk ekonomi negeri kini menghadapi kemerosotan akibat peralihan pasaran global dan perubahan teknologi.
"Ini memerlukan peralihan ke arah ekonomi yang pelbagai untuk mengurangkan sifat kitaran industri yang bergantung kepada sumber, mendorong penjanaan semula bandar yang strategik.
"Ketika Perak berdepan dengan kesan globalisasi, termasuk aglomerasi ekonomi dan migrasi, negeri berhadapan dengan pembangunan yang tidak terkawal," katanya.
Redza Rafiq berkata, PKNPk memulakan projek-projek strategik seperti SVTP dan LuMIC untuk menangani isu berkenaan sekali gus merancakkan semula infrastruktur ekonomi Perak.
Tambahnya, projek itu direka untuk memerangi pembangunan bandar tidak terkawal dengan mewujudkan hab aktiviti ekonomi yang tertumpu dengan mengoptimumkan penggunaan tanah dan sumber komuniti.
"SVTP bertujuan untuk mengubah Perak dan direka untuk menarik syarikat teknologi terkemuka dan syarikat permulaan, mewujudkan ekosistem dinamik bagi inovasi dan pembangunan berteknologi tinggi.
"Hab ini akan memberi tumpuan kepada sektor-sektor terkini seperti industri berasaskan mineral, elektrik & elektronik, farmaseutikal dan digital ekonomi, menyediakan platform untuk perniagaan tempatan untuk disepadukan ke dalam landskap teknologi global," katanya.
Redza Rafiq berkata, LuMIC pula akan memperkukuhkan sektor maritim dan perindustrian Perak dengan membangunkan taman perindustrian maritim yang komprehensif.
Jelasnya, projek itu akan merangkumi kemudahan perkapalan termaju, hab logistik dan zon perindustrian yang disesuaikan dengan industri berat dan perniagaan berkaitan maritim.
Menurut Redza Rafiq, SVTP dan LuMIC penting dalam merealisasikan industri berteknologi tinggi dan logistik maritim sebagai tunjang ekonomi masa depan Perak.
Katanya, projek-projek itu sejajar dengan matlamat Perak Sejahtera 2030 dalam memacu kepelbagaian dan daya tahan ekonomi masa depan.
"SVTP dan LuMIC yang diterajui oleh PKNPk lebih daripada sekadar projek tetapi ia merupakan elemen penting dalam transformasi strategik Perak menjadi sebuah negeri yang dinamik dan makmur," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!