Pengaruh air laut, kurang oksigen punca ikan mati

Laporan Sinar Harian mengenai ikan mati di Sungai Balok.
Laporan Sinar Harian mengenai ikan mati di Sungai Balok.
A
A
A

KUANTAN - Kualiti Sungai Balok kekal pada Kelas III iaitu selamat untuk aktiviti perikanan dan pengambilan hasil sungai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Andansura Rabu berkata, status kualiti sungai itu antara yang dikongsi dalam pertemuan bersama Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pahang, Wandi Yadzid Yaakob, pada Selasa.

Menurutnya, pertemuan itu diatur bagi mendapatkan maklumat terkini yang lebih jelas berhubung kualiti air susulan dua insiden yang berlaku di Sungai Balok dalam tempoh dua bulan sebelum ini.

"Sungai Balok berada pada Kelas III (pertengahan) dari sudut kualiti dan kadar pencemaran.

"Secara ringkasnya, kadar pencemaran di sungai itu masih terkawal dan selamat untuk hidupan air serta pengambilan hasilnya," katanya melalui kenyataan di Facebooknya.

Andansura turut menjelaskan, kejadian ikan mati di muka muara sungai itu yang dilaporkan sebelum ini dipercayai berpunca daripada pengaruh air laut dan kekurangan oksigen.

"Ia berikutan siasatan yang dijalankan bersama Jabatan Perikanan tidak menemui sebarang petunjuk pencemaran.

"Dalam pertemuan itu, kami turut membincangkan pelbagai perkara lain seperti penguatkuasaan, pemeliharaan, kesedaran awam dan libat urus bersama masyarakat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan JAS Pahang khususnya dalam menangani aduan dan perkongsian maklumat.

"Kami juga berhasrat untuk meneroka ruang yang boleh diusahakan untuk meningkatkan libat urus bersama sektor industri dan masyarakat dalam aspek pemeliharaan alam sekitar," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!