Agenda keterjaminan makanan terus jadi keutamaan

Keprihatinan mendalam Sultan Nazrin terhadap isu keterjaminan makanan bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan dalam mentadbir, malah menonjolkan visi yang menjangkaui keperluan semasa rakyat.
Keprihatinan mendalam Sultan Nazrin terhadap isu keterjaminan makanan bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan dalam mentadbir, malah menonjolkan visi yang menjangkaui keperluan semasa rakyat.
A
A
A
IPOH - Usaha memperkukuh keterjaminan makanan amat dititikberatkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang jelas memperlihatkan keprihatinan baginda terhadap keperluan rakyat di negeri ini.

Keprihatinan baginda dalam isu keterjaminan makanan bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan dalam pentadbiran, malah memperlihatkan visi jauh ke hadapan yang merangkumi kepentingan jangka panjang rakyat.

Semasa menyempurnakan Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-14 pada 6 Ogos 2018, baginda bertitah, konsep menterjemahkan sektor pertanian sebagai sektor yang mencerminkan pemodenan masih belum dicapai.

Sultan Nazrin juga secara konsisten menggesa agar sektor pertanian negeri mengadaptasi teknologi moden dan inovasi terkini kerana baginda melihat jauh ke hadapan serta memahami bahawa pertanian konvensional sahaja tidak mampu memenuhi permintaan makanan yang semakin meningkat.

Dalam konteks ini, peranan Perak SADC di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Yahanis Yahya menjadi semakin signifikan dalam memajukan sektor makanan negeri.

Kerajaan negeri melalui Perak SADC telah menterjemahkan agenda sekuriti makanan dengan melaksanakan inisiatif berimpak tinggi seperti Perak Halal Industrial Park (HIP).

Usaha ini bertujuan untuk memperkukuh sektor makanan halal dan memastikan bekalan makanan yang selamat dan berterusan untuk jangka masa panjang.

Keprihatinan Sultan Nazrin terhadap kesejahteraan rakyat mencerminkan kebijaksanaan dalam memastikan sektor ini terus berdaya saing dan berkelangsungan.

Ini jelas dapat dirasai dengan keberangkatan baginda bersama Raja Pemaisuri Perak , Tuanku Zara Salim ke Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada September lalu.
Artikel Berkaitan:


No Image Caption



Keberangkatan baginda mencemar duli ke Pavillion Perak di MAHA 2024 untuk melihat pelbagai pameran berteraskan teknologi dan industri makanan, kebudayaan,warisan, produk pelancongan mencerminkan keprihatinan baginda terhadap sekuriti makanan.

Seruan baginda juga diterjemahkan melalui pelbagai program dan inisiatif oleh Perak SADC, termasuk memperkasakan keterjaminan makanan melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR), yang menekankan kepentingan sekuriti makanan untuk masyarakat.

Perak SADC sentiasa mengambil langkah proaktif dalam mengoptimumkan penggunaan tanah untuk aktiviti pertanian.

Usaha ini melibatkan penyewa dan pemajak tanah Perak SADC dalam sektor tanaman kontan, buah-buahan, akuakultur, dan ternakan. Setakat ini, seramai 372 pengusaha di seluruh negeri Perak telah terlibat, dengan keluasan tanaman yang mencecah 3,154.202 hektar.

Tidak terkecuali, Perak SADC turut mewujudkan projek pertanian bandar yang menjadi alternatif kepada masyarakat bagi penghasilan makanan kendiri yang sedikit sebanyak dapat menangani masalah krisis makanan yang semakin meruncing ketika ini.

Ini selaras dengan hasrat Menteri Besar Perak, YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad yang menekankan, tanam apa yang kita makan, makan apa yang kita tanam dan selebihnya kita jual.

Sehingga kini, projek pertanian bandar ini telah memberi manfaat kepada 189 komuniti yang melibatkan 18,050 isi rumah sejak dilaksanakan pada 2020. Ini meliputi pertanian bandar (urban farming), pertanian luar bandar (rural farming) dan pendidikan pertanian (edu-farming) yang melibatkan komuniti setempat, surau dan masjid serta sekolah di seluruh negeri Perak.

Dalam pada itu, bagi memastikan keterjaminan sekuriti makanan terus diperhebat, Perak SADC juga turut memberikan inisiatif pemberian biasiswa, Skim Biasiswa Agrotek SADC-YP kepada lapan buah institusi pengajian tinggi antaranya Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Pertanian Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam meningkatkan pembangunan modal insan dan melahirkan pakar dalam industri pertanian yang akan memperkasakan agenda sekuriti makanan, khususnya di negeri Perak dan Malaysia.

Visi Sultan Perak yang diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif dan program di bawah Perak SADC telah menjadikan Perak sebagai salah satu negeri peneraju dalam inovasi pertanian dan pengeluaran makanan di Malaysia.

Komitmen baginda yang tidak berbelah bahagi dalam isu ini mencerminkan kebijaksanaan seorang pemerintah yang memahami keperluan asas rakyatnya, sekali gus memperkukuhkan kesiapsiagaan Perak dalam menghadapi cabaran masa hadapan dengan penuh keyakinan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!