'Baru habis konvokesyen, graduan jangka boleh dapat gaji cecah RM5,000'
SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kebanyakan graduan universiti menjangkakan majikan akan memberi gaji sekurang-kurangnya RM3,000 sehingga RM5,000 untuk gaji pertama yang ingin diperoleh.
Sebuah video berdurasi 1.43 minit daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memaparkan 16 graduan terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh perempuan, memberikan pandangan masing-masing mengenai gaji pertama yang diharapkan.
Ketika ditanya mengenai perkara itu, rata-rata graduan berpendapat industri di Malaysia perlu memberikan gaji pada kadar tersebut kepada graduan baharu yang ingin memulakan pekerjaan.
“Anggaran gaji selepas graduasi RM3,000 ke RM5,000,” kata salah seorang graduan dalam video berkenaan.
Dalam pada itu, netizen tidak terkejut dengan graduan yang mengharapkan jumlah gaji berkenaan namun ia tidak seindah diimpikan.
Berdasarkan perkongsian pengalaman bekerja, mereka memberitahu hanya menerima gaji permulaan sebanyak RM1,700 sahaja.
Menurut Khazanah Research Institute (KRI), kajian pada 2024, sebanyak dua pertiga graduan baharu kekal terperangkap dalam gaji rendah iaitu dengan permulaan kurang RM2,000 walaupun memiliki pendidikan tinggi.
Menerusi laporan bertajuk Shifting Tides: Charting Career Progression of Malaysia’s Skilled Talents, KRI mendapati pertumbuhan gaji di Malaysia adalah lembab dan tidak banyak berubah sejak sedekad lalu.
“Kajian menunjukkan perkembangan kerjaya graduan Malaysia itu mendapati 65.5 peratus graduan pada 2021 mempunyai gaji permulaan kurang RM2,000,” menurut laporan itu.
Menurut satu lagi kajiannya di portal rasmi KRI, kebanyakan anak muda masih menerima gaji yang lebih rendah daripada paras ‘gaji reservation’.
Ia adalah gaji minimum yang sanggup diterima golongan itu untuk mendapatkan kerja.
“Jika ditawarkan nilai yang lebih rendah daripada gaji reservation, mereka akan menolak pekerjaan tersebut.
“Gaji reservation untuk pekerja muda nilainya ialah RM1,555 sebulan manakala untuk golongan yang mencari kerja, gajinya diletakkan pada paras RM1,715.
“Ini bermaksud, sebenarnya gaji yang diminta oleh anak muda dan pencari kerja adalah pada paras rendah sahaja,” katanya dalam laporan yang bertajuk Tanggapan anak muda ‘demand’ gaji tinggi adalah salah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!