Perumahan selesa mampu milik terus jadi agenda utama

Majlis pecah tanah Rumah Perakku Taman Kerman Putra, Perak.
Majlis pecah tanah Rumah Perakku Taman Kerman Putra, Perak.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri komited dalam memastikan setiap rakyat di Perak mampu memiliki kediaman sendiri.

Usaha ini selaras dengan saranan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagaimana yang terkandung dalam bukunya, Globalization: Perak's Rise, Relative Decline, and Regeneration, yang menekankan kepentingan pembangunan inklusif di kawasan bandar dan luar bandar secara seimbang.

Baginda turut menegaskan keutamaan memenuhi keperluan perumahan rakyat berbanding agenda komersial semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Kedua, Persidangan Dewan Undangan Negeri Perak Ke-15 pada 23 Februari lalu.

Seiring dengan kehendak baginda, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI) dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan hartanah, khususnya dalam menyediakan perumahan mampu milik kepada rakyat, sebagai usaha memastikan semua lapisan masyarakat dapat memiliki kediaman yang selesa.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSI, Zulkefli Abdullah berkata, dengan matlamat memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat, pelbagai projek perumahan telah dirancang dan dibangunkan sebagai memenuhi permintaan perumahan serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

Menyediakan rumah yang selesa serta mampu milik terus jadi agenda utama kerajaan negeri Perak melalui SSI.
Menyediakan rumah yang selesa serta mampu milik terus jadi agenda utama kerajaan negeri Perak melalui SSI.

"Setakat ini, sejumlah 1,776 unit rumah telah berjaya disiapkan dengan menyediakan 354 unit Rumah Perakku I, Rumah Perakku II (310 unit) dan Rumah Perakku III (544 unit) yang dikategorikan sebagai rumah mampu milik dan 568 unit rumah pasaran terbuka.

"Manakala 7,993 unit rumah yang dalam perancangan dan pembinaan dijangka siap menjelang tahun 2030 melalui projek usahasama di atas tanah milik SSI. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memberikan peluang kepada rakyat memiliki rumah dengan harga yang lebih berpatutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Zulkefli, beberapa projek telah berjaya disiapkan, antaranya projek usaha sama SSI di Taman Kerian Putra, daerah Kerian; Taman Desa Pengkalan Permai, daerah Kinta; Taman Changkat Iskandar, daerah Perak Tengah dan Taman Denai Alam, daerah Hulu Perak.

Melalui pelbagai inisiatif itu, Perak berjaya mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri yang proaktif dalam menyediakan kemudahan perumahan berkualiti kepada rakyat.

No Image Caption

Inisiatif pembangunan hartanah ini bukan sahaja membantu memenuhi keperluan perumahan, malah turut merangsang ekonomi setempat melalui peningkatan aktiviti pembinaan dan penyediaan peluang pekerjaan.

Usaha berterusan SSI untuk menyediakan rumah berkualiti dengan harga berpatutan adalah sejajar hasrat kerajaan negeri untuk membentuk masyarakat yang sejahtera dan makmur.

Dengan tumpuan kepada pemeliharaan alam sekitar, pembangunan ekonomi, dan kesejahteraan sosial, Perak berada di landasan betul untuk terus maju sebagai sebuah negeri yang menawarkan peluang perumahan serta kehidupan lebih baik untuk semua.

Melalui kerjasama antara pihak kerajaan negeri, pemaju dan masyarakat, Perak bersedia untuk melangkah ke hadapan sebagai sebuah negeri yang menawarkan kediaman idaman bagi setiap rakyatnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!