Pelancong Malaysia ke Turkiye meningkat dua kali ganda
SHAH ALAM - Jumlah pelancong Malaysia ke Turkiye mencatatkan peningkatan dua kali ganda pada 2023 iaitu seramai 99,444 orang berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Presiden Persatuan Usahawan Pelancongan Malaysia, Kamarun Ab Rahman berkata, meskipun negara masih berdepan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 2020, 2021 dan 2022, ia tidak menjadi halangan buat pengunjung untuk memilih Turkiye kerana harga tiket berpatutan serta laluan penerbangan terus dari Kuala Lumpur.
“Pada 2020, seramai 17,892 pelancong melawat Turkiye; 2021 (9,618); 2022 (89,766) dan 2023 (99,444).
“Bagi tahun ini, saya menjangkakan angka sekitar 95,000 pelancong kekal atau terus meningkat ke 100,000 orang, semuanya bergantung kepada pakej percutian ditawarkan agensi pelancongan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Bagaimanapun, menurutnya, usaha untuk menarik pelancong dari Turkiye ke negara ini perlu dipertingkatkan dengan penawaran pakej percutian yang berbaloi.
Ia kerana menurutnya, promosi yang dijalankan mungkin ada, tetapi perlu diperbanyakkan lagi.
“Jarang kita dengar agensi pelancongan Malaysia pergi buat promosi pakej percutian di sana menyebabkan pengetahuan rakyat Turkiye tentang Malaysia rendah,” ujar beliau.
Sementara itu, Kamarun berpendapat, Masjid Sultan Ahmed, Hagia Sophia dan Muzium Topkapi di Istanbul serta belon udara panas di Cappadocia antara tarikan utama ketika berkunjung ke Turkiye.
Jelasnya, pelancong Malaysia amat meminati seni bina, budaya dan selok-belok sejarah negara berkenaan daripada zaman pemerintah Uthmaniyah hingga pentadbiran era moden hari ini.
Tambahnya lagi, sepanjang melawat beberapa pusat tarikan, pengunjung tidak melepaskan peluang merasai air tangan masyarakat Turkiye terutamanya pencuci mulut.
“Restoran pencuci mulut paling diminati ramai ialah Hafiz Mustafa kerana menyediakan aneka hidangan seperti ‘Turkish Delight’, kunafa, baklava dan banyak lagi.
“Selain itu, orang ramai juga boleh menikmati pemandangan Istanbul dengan menaiki kapal besar Bosphorus, malah sungainya menghubungkan Laut Hitam dan Laut Marmara.
“Di Grand Bazaar pula, hampir 5,000 gerai dibuka dan pengunjung boleh membeli karpet buatan Turkiye, perhiasan lampu dan barangan antik. Inilah lokasi tarikan bagi pelancong yang suka membeli belah,” ulas Kamarun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!