RM7.2 juta daripada RM20 juta wang tebusan berjaya diperolehi - PDRM

Shuhaily (dua, kiri), pada sidang akhbar berkenaan.
Shuhaily (dua, kiri), pada sidang akhbar berkenaan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis telah berjaya mendapatkan RM7.2 juta daripada keseluruhan wang tebusan berjumlah RM20 juta yang dikatakan diserahkan kepada sindiket dalam kes culik seorang ahli perniagaan 13 Oktober lalu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, jumlah wang diperoleh itu secara keseluruhannya melibatkan bayaran dalam bentuk wang tunai dan mata wang digital.

“Wang Ini melibatkan wang tunai RM1.95 juta dan mata wang asing iaitu SGD1 juta (RM3.3 juta) dan wang digital berjumlah USDT400,00 (RM1.75 juta).

“Selain itu, pihak polis turut merampas sepucuk pistol jenis Pierto Beretta dipercayai bukan pistol tiruan, 250 butir peluru hidup dan sepasang gari,” katanya.

Suhaily berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.

Tambah Suhaily, setakat ini polis telah menahan 14 suspek berusia 23 hingga 58 tahun kerana dipercayai terlibat dalam insiden culik seorang ahli perniagaan tersebut.

Katanya, kesemua suspek melibatkan 11 warga tempatan serta tiga warga Vietnam itu ditangkap di lokasi berasingan di sekitar bandaraya ini pada hari yang sama mangsa dibebaskan.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut pecahan kesemua yang ditahan melibatkan 10 lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta dua lelaki dan seorang wanita Vietnam.

"Kesemua mereka mempunyai peranan masing-masing dan terbahagi kepada beberapa kumpulan; satu kumpulan berperanan dalam konteks perancangan dan pelaksanaan culik, satu lagi kumpulan melupuskan barang-barang culik serta menguruskan wang tebusan.

"Kita juga berharap kes tersebut dapat diselesaikan dengan kadar segera kerana ia melibatkan warga asing termasuk dipercayai ada suspek yang masih bebas.

Untuk rekod, kesemua 14 suspek tersebut kini direman sehingga 5 November ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!