Akram Afif intai gelaran hatrik

Akram Afif melihat trofi yang dimenanginya pada majlis yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan. Foto AFP
Akram Afif melihat trofi yang dimenanginya pada majlis yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan. Foto AFP
A
A
A

PEMAIN Terbaik Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Akram Afif meletakkan sasaran baharu selepas menyertai kumpulan pemain terpilih memenangi anugerah kategori individu terbaik benua itu sebanyak dua kali.

Akram Afif menyertai Hidetoshi Nakata (Jepun) dan Server Djeparov (Uzbekistan) sebagai satu-satunya pemain memenangi anugerah tertinggi AFC, berazam melengkapkan hatrik.

“Saya mahu mencipta sejarah, saya mahu membuat sesuatu yang besar untuk hidup saya.

“Esok anak saya, seseorang akan bercakap tentang saya dan apa yang saya lakukan untuk negara, apa yang saya lakukan untuk diri saya sendiri, apa yang saya lakukan untuk kelab. Ya, saya memenanginya dua kali, tetapi ada juga orang lain yang memenanginya dua kali.

“Ya, saya memenangi Piala Asia dua kali tetapi ada orang lain yang memenanginya lebih daripada dua kali. Jadi saya masih belum melakukan apa-apa yang besar,” kata Akram Afif yang pertama kali memenangi anugerah itu pada 2019, pada majlis gala di Seoul, Korea Selatan.

Afif memenangi anugerah terbaharu selepas memainkan peranan utama ketika memacu negaranya mempertahankan kejuaraan Piala Asia di Qatar awal tahun ini, dengan kejayaannya untuk kedua-dua pasukannya dan secara individu pencapaian pada 2019.

Kemudian penyerang Al-Sadd itu juga memainkan peranan penting dalam kemenangan pertama Qatar di Piala Asia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) lima tahun lalu dan persembahan itu juga menyaksikan dia dipilih AFC sebagai pemain terbaik benua berkenaan.

Akram Afif yang memulakan karier bersama Al-Markhiya Sports Club, akan mencecah usia 28 tahun bulan depan dan dengan dua trofi kini berada dalam kabinetnya, dia berazam untuk menambah untuk diri, kelab dan pasukan negara.

Artikel Berkaitan:

“Sudah tentu saya bangga dengan diri sendiri dengan apa yang saya lakukan, tetapi saya mahukan lebih. Semua orang mahu lebih, semua orang mahu menjadi lebih baik daripada semalam, jadi saya mahu menjadi yang pertama melakukannya tiga kali.

“Saya mahu memenangi (Liga Juara-Juara Asia Elit), saya tidak pernah memenanginya dengan kelab saya. Ya, saya memenangi (Piala Asia) dua kali bersama pasukan kebangsaan. tetapi banyak perkara yang saya tidak lakukan lagi.

“Saya meminta Tuhan untuk membantu saya dan saya akan melakukan yang terbaik setiap hari, mulai esok,” katanya.

Ditanya kembali beraksi semula di benua Eropah, Akram Afif mengakui terbuka kepada prospek berkenaan setelah kembali ke Qatar selepas bermain di Sepanyol dan Belgium pada awal kariernya.

“Sudah tentu tidak ada pemain yang tidak mahu bermain dengan kelab besar dalam liga Eropah.

“Setiap tahun saya mendapat beberapa tawaran dan jika ada sesuatu yang serius mereka akan berkomunikasi dengan kelab untuk meneruskannya,” katanya yang memulakan kembara di Eropah bersama kelab Belgium, Konigliche Allgemeine Sportvereinigung Eupen (KAS Eupen) dari 2015 hingga 2016.

Kemudian Akram Afif menyertai kelab Sepanyol, Villarreal Club de Futbol (El Submarino Amarillo) dari 2016 hingga 2020 diikuti Sporting de Gijon (Rojiblancos) dari 2016 hingga 2017.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!