1MDB: Bicara bela diri Najib mula 2 Disember

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Prosiding bela diri Datuk Seri Najib Tun Razak atas empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama, ditetapkan berlangsung selama 97 hari bermula 2 Disember ini.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini hakim Mahkamah Rayuan) menetapkan tarikh bicara itu sehingga akhir tahun 2025, selepas mengarahkan bekas Perdana Menteri ini membela diri atas 25 kes berkenaan.

Tarikh-tarikh itu ialah 2 hingga 6, 9-13 Disember ini, manakala tahun depan bermula 6-10, 13-17, 20-24 Januari; 10-14, 17-21, 24-28 Februari; 3-5, 10-13, 24-28 Mac; 7-10, 15-17, 21-24 April; 5-9 Mei; 16-20 Jun; 5-8, 18-22 Ogos, 8-12 September; 6-10 Oktober dan 3-7 November.

Semasa prosiding pada 30 Mei lalu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan, seramai 49 saksi pendakwaan ditawarkan kepada pasukan pembelaan.

Sementara itu, peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, sekurang-kurangnya 11 saksi akan hadir memberi keterangan bagi pihak bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

Menurutnya, anak guamnya ini juga akan memberi keterangan sementara saksi lain, akan diberi sepina.

“Ini bermakna mereka terpaksa datang, yang mana mereka merupakan saksi bebas, ia mungkin memakan masa yang agak lama.

“Kami menyatakan, bakal mengambil saksi-saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan itu,” katanya ketika sidang akhbar.

Artikel Berkaitan:

Selain Muhammad Shafee, bekas Presiden UMNO ini turut dibarisi peguam-peguam, Tania Scivetti dan Muhammad Farhan Muhammad Shafee.

Sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, Nadia Mohd Izhar dan Deepa Nair Thevaharan.

Pada 30 Mei lalu, prosiding kes pendakwaan berhubung penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB, di Mahkamah Tinggi akhirnya tamat, selepas 50 individu selesai memberi keterangan terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Antara saksi itu ialah bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Saksi pendakwaan ke-50, bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan yang sebelum ini melarikan diri ke luar negara dan kemudian menyerah diri kepada pihak berkuasa pada 7 Julai 2023 lalu, merupakan saksi terakhir dipanggil.

Prosiding di peringkat pendakwaan terbabit, bermula pada 28 Ogos 2019 dan ia berlangsung selama 235 hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!