[VIDEO] Najib kecewa dengan keputusan hakim - Peguam
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kekecewaan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.
Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihak pembelaan turut kecewa terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah sebaik sahaja diperintahkan untuk membela diri.
"Kami sebagai pasukan pembelaan Najib menzahirkan perasaan kecewa atas keputusan ini dan masa sama ia turut diluahkan oleh anak guam kami.
"Kami sama sekali tidak akan putus asa dan terus melawan dalam memberi pembelaan walaupun keputusan mahkamah tidak memihak kepada beliau," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Rabu.
Katanya, keterangan bagi proses pembelaan kelak melibatkan jumlah saksi tidak kurang daripada 11 individu.
"Berkaitan jumlah yang akan terlibat dalam mengambil keterangan membela diri adalah tidak kurang daripada 11 saksi," katanya.
Dalam pada itu, menjelaskan berkaitan keadaan kesihatan Najib, beliau berkata, anak guamnya itu berada dalam keadaan sihat.
Sinar Harian pada Rabu melaporkan Najib diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.
Ketika membaca keputusan penghakimannya dalam bahasa Inggeris, Collin berkata, semua pertuduhan yang dipertuduhkan ke atas Najib, 71, tidak cacat selain mahkamah mendapati saksi-saksi adalah relevan semasa memberi keterangan.
"Selepas membuat penilaian maksimum, saya dapati pihak pendakwaan telah membuktikan intipati bagi semua pertuduhan itu.
"Oleh itu, saya memerintahkan tertuduh untuk membela diri bagi semua kes,”katanya.
Najib kemudiannya diberi tiga pilihan iaitu pertama, memberi keterangan secara bersumpah dengan pihak pendakwaan diberikan peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.
Pilihan kedua, beliau boleh memberi kenyataan tidak bersumpah daripada tempat saksi tanpa pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan manakala pilihan terakhir, bekas Ahli Parlimen Pekan ini boleh berdiam diri dan tidak menjawab pertuduhan.
Sementara itu, Muhammad Shafee berkata, anak guamnya tidak mempunyai apa-apa perkara yang mahu disembunyikan.
"Najib mengambil pilihan pertama, beliau akan memberi memberikan keterangan daripada kandang saksi,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!