Purata jangka hayat rakyat Selangor cecah 80 tahun

Selangor sedang menghadapi cabaran populasi menua yang semakin ketara, di mana jangka hayat rakyatnya semakin panjang.
Selangor sedang menghadapi cabaran populasi menua yang semakin ketara, di mana jangka hayat rakyatnya semakin panjang.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor sedang menghadapi cabaran populasi menua yang semakin ketara, di mana jangka hayat rakyatnya semakin panjang.

Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, terkini purata jangka hayat di Selangor ialah 83 tahun untuk wanita dan 80 tahun untuk lelaki, berbanding 65 tahun pada tahun 2008.

"Ini bermakna golongan warga emas akan memerlukan penyelesaian jangka panjang terutamanya selepas mereka bersara.

"Sebagai respons kepada cabaran ini, Selangor telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk menyokong golongan warga emas.

"Antaranya adalah Pusat Aktiviti Warga Emas yang dibina di Sungai Tua dengan kos RM2.4 juta," ujarnya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Rabu.

Jelas Menteri Besar, inisiatif itu bertujuan untuk menyediakan kemudahan bagi warga emas menjalankan aktiviti yang menyokong kesihatan mental dan fizikal mereka.

"Pusat ini akan berfungsi sebagai ruang sosial bagi menggalakkan interaksi, mengelakkan isolasi sosial, dan memastikan warga emas kekal aktif serta produktif dalam komuniti mereka.

"Cabaran utama yang dihadapi adalah untuk memastikan golongan produktif dapat menyokong jumlah warga emas yang semakin bertambah, di samping memperkukuh infrastruktur kesihatan dan memastikan golongan warga emas terus terlibat dalam ekonomi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menteri Besar menambah, dengan inisiatif seperti Pusat Aktiviti Warga Emas, Selangor menyusun strategi komprehensif untuk menampung kehidupan mereka, termasuk dalam bidang kesihatan, perumahan, dan penjagaan sosial agar kesejahteraan mereka terus terjamin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!