Kes amang seksual GISBH: Mahkamah tetap 18 November serahan laporan perubatan mangsa

Ahmad Nadzful Izham (kiri) dan Muhammad Fawzun Azim memakai pelitup muka hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban.
Ahmad Nadzful Izham (kiri) dan Muhammad Fawzun Azim memakai pelitup muka hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu menetapkan 18 November depan untuk serahan laporan perubatan bagi kes amang seksual melibatkan empat pembantu pengajar sebuah madrasah yang mempunyai kaitan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Kuala Pilah.

Hakim, Datin Surita Budin membuat keputusan itu selepas peguam, Datuk Hanif Hasan yang mewakili tiga tertuduh memberitahu tiada laporan penuh perubatan mangsa dalam senarai dokumen yang diterimanya.

Ia selepas beliau menyemak dokumen yang diserahkan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi dalam prosiding berkenaan.

"Saya sahkan penerimaan (dokumen), namun mengikut pada senarai ini, belum ada laporan perubatan," katanya.

Nurul Balkis kemudian memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk penyerahan laporan perubatan mangsa.

Pada 19 September lalu, media melaporkan Muhammad Habib Noh Mohd Zairi, 21, Muhammad Khunnais Fathie Khabil, 20, dan Ahmad Nadzful Izham Azizan, 22, masing-masing berdepan lima, enam serta tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, kesemua mereka telah melakukan suatu amang seksual fizikal dengan sentuhan fizikal secara seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki yang tiga daripadanya merupakan adik-beradik, berusia antara sembilan hingga 11 tahun.

Kesalahan itu dilakukan antara tahun 2022 hingga 2023 di sebuah madrasah di Kuala Pilah.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Muhammad Habib Noh turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mengikut pertuduhan itu, dia didapati melakukan suatu amang seksual fizikal ke atas mangsa berusia 10 tahun dengan membuatkan kanak-kanak itu melakukan sentuhan fizikal secara seksual.

Pada 20 September, Muhammad Fawzun Azim Ismail, 20 pula didakwa atas pertuduhan sama terhadap empat kanak-kanak tahun lalu.

Kesemua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh dijamin RM12,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi mereka dan yang membayarnya hanya Ahmad Nadzful Izham serta Muhammad Fawzun Azim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!