MoU UiTM, AGC fokus pendidikan undang-undang, latihan profesional dan penyelidikan

MoU dimeterai antara Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (dua kiri) bagi mewakili AGC dan Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Shahrin Sahib (dua dari kanan).
MoU dimeterai antara Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh (dua kiri) bagi mewakili AGC dan Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Shahrin Sahib (dua dari kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi menjalin kerjasama strategik dalam bidang pendidikan undang-undang, latihan profesional, dan penyelidikan antara UiTM dan AGC.

MoU yang berlangsung di Dewan Senat, Bangunan Canseleri, UiTM pada Rabu itu dimeterai antara Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bagi mewakili AGC dan Naib Canselor UiTM, Datuk Dr Shahrin Sahib.

Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bergambar bersama selepas MoU.
Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bergambar bersama selepas MoU.

UiTM dalam kenyataan memaklumkan, dengan termeterainya MoU, pelajar Fakulti Undang-Undang universiti akan diberi keutamaan untuk menjalani latihan industri di AGC dan bakal memberikan mereka pengalaman praktikal di dalam badan penasihat undang-undang utama Malaysia, seterusnya mempersiapkan diri mereka untuk kerjaya dalam bidang undang-undang.

Menurut kenyataan, MoU itu juga akan menyediakan peluang sabatikal kepada ahli akademik UiTM untuk menjalani tempoh sabatikal di AGC, yang akan memperluas pertukaran ilmu dan pembangunan profesional.

"Para graduan undang-undang terbaik UiTM juga berpeluang dipertimbangkan untuk direkrut di bawah Program Green Harvest, satu inisiatif yang berprestij untuk menarik individu cemerlang dalam perkhidmatan kehakiman dan perundangan Malaysia.

"Tambahan pula, MoU ini membina landasan bagi pelbagai aktiviti akademik bersama seperti penyelidikan, persidangan dan kursus jangka pendek, yang akan menggalakkan pertukaran kepakaran antara UiTM dan AGC.

"Kedua-dua institusi ini juga akan berkongsi kemudahan penyelidikan dan sumber akademik bagi memperkukuhkan ilmu undang-undang, dengan jaminan bahawa maklumat sensitif akan dilindungi," kata kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, satu lagi aspek penting dalam perjanjian ialah pegawai undang-undang AGC yang memenuhi kriteria boleh diiktiraf sebagai Profesor Adjung di UiTM, menunjukkan pengiktirafan universiti terhadap kepakaran dan sumbangan mereka dalam profesion undang-undang.

"Di samping itu, MoU ini membuka jalan kepada usaha sama dalam membangunkan teknologi undang-undang yang bakal memodenkan penyampaian perkhidmatan undang-undang di Malaysia dan memberi manfaat kepada kedua-dua komuniti akademik dan perundangan," katanya.

Menurut kenyataan, MoU juga bukan sekadar perjanjian formal, tetapi merupakan langkah penting ke arah memperkukuh hubungan antara pendidikan undang-undang dan amalan perundangan, memastikan bahawa pelajar dan profesional lebih bersedia untuk menghadapi cabaran dalam landskap perundangan yang semakin berkembang.

"la merupakan satu pencapaian besar dalam usaha memajukan pendidikan undang-undang dan pembangunan profesional di Malaysia," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!