Enam peniaga dikenakan tindakan gagal patuh SHMMP Deepavali
TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah mengambil enam tindakan undang-undang terhadap peniaga yang ingkar sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2024 bermula 28 Oktober sehingga Selasa setakat ini.
Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, tindakan itu melibatkan sitaan bernilai RM440 serta jumlah kompaun sebanyak RM900.
"Tindakan undang-undang yang telah dikenakan melibatkan satu kes menjual melebihi harga maksimum dan lima kes gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu.
"Kerajaan berharap semua pihak mematuhi harga yang telah ditetapkan ini dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harganya.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini dan peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas lawatan sempena skim tersebut di sebuah Pasar Raya BS Freshmart di Mentakab di sini pada Rabu.
Ujarnya, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 942 pemeriksaan telah dijalankan ke atas premis perniagaan di seluruh negara merangkumi 11 pemeriksaan ke atas premis borong dan 931 (runcit).
SHMMP bermula dari 28 hingga 3 November ini dilancarkan bertujuan untuk menstabilkan harga barang semasa permintaan terhadap barang yang dijangka meningkat semasa musim perayaan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu inisiatif KITA GEMPUR yang baharu diperkenalkan sejak seminggu lalu membabitkan kerjasama pelbagai agensi.
Jelas Fuziah, ia adalah usaha untuk mengajak orang ramai menjadi mata dan telinga KPDN dalam membanteras kesalahan dilakukan oleh para peniaga.
"Kita tidak memiliki ramai anggota dan pegawai KPDN di seluruh negara untuk memantau semua aktiviti perniagaan yang dijalankan.
"Dengan adanya bantuan orang ramai mereka boleh melaporkan jika ada maklumat mengenai kes sorok barang, pencatutan, ketirisan atau barang kawalan kita dijual di luar negara," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!