Guru madrasah didakwa aniaya anak jagaan

Muhammad Aqeil didakwa menganiya kanak-kanak bawah jagaannya.
Muhammad Aqeil didakwa menganiya kanak-kanak bawah jagaannya.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang tenaga pengajar madrasah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan menganiaya hingga menyebabkan kecederaan seorang kanak-kanak lelaki di bawah jagaannya, Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Aqeil Faizal, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datin Surita Budin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki telah menganiyanya hingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada tubuhnya dengan menggunakan rotan batang anak panah.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah madrasah di Bandar Tasik Senangin di Lenggeng pada 26 Ogos lalu, jam lebih kurang 11 pagi.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan RM30,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu diberi jaminan rendah kerana baharu bekerja di madrasah terbabit dan mempunyai empat adik beradik.

Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan, tidak menganggu saksi pendakwaan dan menyerahkan pasport ke mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Sebutan semula kes bagi lantikan peguam, 27 Disember depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!