Dua penguat kuasa minta suapan RM5,000 ketika operasi ditahan
KOTA KINABALU - Dua anggota sebuah agensi penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Sandakan selepas disyaki meminta suapan sebanyak RM5,000 daripada pesalah trafik dalam satu operasi sekatan jalan raya.
Kedua-dua anggota berusia 41 dan 29 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan SPRM susulan aduan daripada pengadu yang mendakwa diminta wang tersebut sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan saman terhadapnya.
Menurut sumber, kedua-dua anggota penguat kuasa tersebut telah meminta wang suapan terhadap pengadu yang melakukan kesalahan tidak mempunyai lesen memandu dan memandu kenderaan yang menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Selain dokumen pengenalan diri milik pengadu dirampas, telefon bimbitnya juga telah diambil.
Pengadu kemudian bertindak menghubungi pihak SPRM supaya tindakan susulan diambil terhadap kedua-dua anggota penguat kuasa tersebut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan yang dilakukan pada Selasa.
"Kedua-dua anggota tersebut telah dilepaskan dengan jaminan SPRM dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya pada Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!