RM3.42 juta bantuan makanan kepada calon peperiksaan
IPOH – Kerajaan Perak memperuntukkan dana sejumlah RM3.42 juta bagi meneruskan program Bantuan Makanan Percuma Tuisyen Cikgu Saarani (TCS) kepada calon peperiksaan utama di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program itu menyasarkan kepada 27,432 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan pelajar Kolej Vokasional seluruh negeri.
Menurut beliau, jumlah dana tersebut meningkat sebanyak RM750,000 berbanding RM2.67 juta yang diperuntukkan tahun lalu.
"Pelajar yang menghadiri kelas tambahan dan sesi tuisyen akan menerima makanan tengah hari bernilai RM5 setiap hari.
"Ini bagi memastikan mereka lebih fokus dan bersemangat untuk hadir ke kelas tambahan serta lebih bersedia menghadapi peperiksaan,“ katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Makanan Percuma Peperiksaan Awam Tuisyen Cikgu Saarani 2024 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Saarani berkata, sejak diperkenalkan tahun 2021, program ini terus menunjukkan kesan positif dalam pencapaian pelajar pada peperiksaan awam.
"Program ini juga meringankan beban kewangan ibu bapa, menyediakan nutrisi yang diperlukan pelajar.
"Selain itu ia memperkukuhkan kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Persatuan Ibu Bapa Kolej Vokasional (PIBKS) dalam menyokong kejayaan pelajar di negeri ini,” katanya.
Tambah beliau, dana program tersebut disumbangkan oleh Lembaga Air Perak (LAP) dan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) masing-masing berjumlah RM1 juta.
"Perbadanan Menteri Besar (MBInc) turut menyumbang RM700,000, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) (RM500,000) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) sebanyak RM220,000.
“Dana terkumpul ini akan disalurkan melalui Pejabat Kewangan Negeri kepada Yayasan Perak, yang akan menyelaras agihan bantuan makanan ke sekolah-sekolah yang terlibat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak (JPN) dan dipantau oleh Pejabat Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!