Wan Rosdy simpati dengan Najib
KUANTAN - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersimpati dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu mengarahkan beliau untuk membela diri dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Saya menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan berharap keadilan dapat ditegakkan dengan saksama.
"Saya sentiasa mendoakan agar Datuk Seri Najib dan keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang besar ini," katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau percaya Najib dan pasukan peguamnya akan menggunakan peluang tersebut untuk membuktikan kebenaran dan membersihkan namanya.
Sebelum ini, Sinar Harian pada Rabu melaporkan Najib diperintah bela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan hampir RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram babit wang sama.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!