Kartel perolehan baja: Eksekutif pemasaran direman
PUTRAJAYA - Seorang eksekutif pemasaran salah sebuah syarikat yang ditawarkan projek pembelian baja padi oleh sebuah pertubuhan direman berkaitan kartel perolehan baja bernilai RM1.8 bilion.
Perintah tahanan reman selama empat hari sehingga 2 November itu dikeluarkan oleh Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.
Menurut sumber, lelaki berusia 30-an itu telah ditahan bagi membantu siasatan ketika memberikan keterangan di ibu pejabat SPRM lewat petang Selasa.
"Hasil siasatan awal mendapati syarikat tersebut merupakan sebuah syarikat yang tidak aktif (dorman) di Malaysia sejak lapan tahun lepas," katanya.
Walau bagaimanapun, kata sumber, syarikat induknya itu merupakan sebuah syarikat berpangkalan di negara jiran Singapura.
Syarikat terbabit juga dikatakan telah menerima kontrak pembekalan baja berjumlah 15,000 tan atau lebih kurang RM60 juta pada tahun 2022.
"Pemberian kontrak sangat meragukan di mana ia dipercayai dibuat atas arahan pihak tertinggi Pertubuhan tanpa kelulusan Lembaga Pengarah dan diberikan secara runding terus atas alasan pembelian darurat," jelasnya.
Tambah sumber, kontrak bernilai RM60 juta ini diberikan atas nama syarikat yang telah tidak aktif sejak lapan tahun lepas amat mencurigakan.
"Begitu juga keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa atas nama pembelian kecemasan, " ujar beliau.
Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya telah memulakan siasatan dan pembongkaran berhubung penyelewengan dan ketirisan projek pembekalan baja padi oleh salah sebuah Pertubuhan di bawah Kementerian terbabit.
Kes disiasat dibawah seksyen 16, 18 dan 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!