Pandu berbahaya, halang tugas polis, bekas banduan dijel semula

Umar Mokhtar dipenjara enam bulan dan denda RM6,000 oleh di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa.
Umar Mokhtar dipenjara enam bulan dan denda RM6,000 oleh di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Gara-gara memandu secara berbahaya dan menghalang tugas penjawat awam menyebabkan seorang bekas banduan dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM6,000 oleh di Mahkamah Majistret, di sini, pada Selasa.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Umar Mokhtar Mohamed, 32, yang membuat pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa telah memandu sebuah kereta dengan keadaan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya lain di Jalan Syed Abd Aziz- Melaka Raya 5, Melaka Raya 12 dan Jalan Tamby Abdullah di sini, kira-kira jam 4.30 petang, pada 20 Oktober lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 hingga maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mengaku bersalah atas tuduhan menghalang tugas seorang penjawat awam iaitu pegawai polis dalam menjalankan fungsi jawatannya pada masa dan tarikh sama dan kesalahan.

Umar Mokhtar (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.
Umar Mokhtar (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Rabu.

Bagi kesalahan itu dia dituduh mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Sofian dan Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Zaidi Tahir.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, tertuduh baru dibebaskan dari hukuman penjara pada 6 Oktober lalu selepas dipenjarakan selama enam tahun enam bulan bagi kesalahan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, mahkamah turut mengarahkan tertuduh didenda RM5,900 atau tambahan 125 hari penjara jika gagal bayar selepas mengaku bersalah atas 24 kesalahan trafik sejak 2010 hingga 2015.

Tertuduh yang diwakili peguam Nigel Tai merayu tempoh penjara yang minimum kerana tertuduh berazam untuk memulakan kehidupan baharu dan mahu menyara bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dikenakan hukuman 10 hari penjara dan denda RM6,000 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar bagi kesalahan memandu secara berbahaya.

Tertuduh turut hilang kelayakan mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan hari ini.

Bagi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, mahkamah membenarkan tertuduh dijatuhi hukuman enam bulan penjara dari tarikh ditangkap 20 Oktober lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!